My Add

Monday, 27 May 2013

Calon DAP nafi ada gangguan elektrik

Nik Sukry Ramli 

 *GAMBAR yang didakwa kejadian lampu padam di satu pusat pengiraan undi ketika PRU-13 yang tersebar di internet.Tidak pernah buat kenyataan lampu padam ketika proses kira undi
KUANTAN, AHAD, 26 Mei, 2013: Calon DAP, Wong Tack yang bertanding di kerusi Parlimen Bentong pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), sekali lagi menegaskan pihaknya tidak pernah mengeluarkan kenyataan berlakunya gangguan bekalan elektrik ketika proses pengiraan undi di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, Bentong pada 5 Mei lalu.

Beliau yang tewas 379 undi ditangan Pengerusi MCA Pahang, Datuk Seri Liow Tiong Lai, menafikan kejadian itu ketika dihubungi BH di sini semalam.

“Kami tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan... atau mendakwa berlaku insiden terputusnya bekalan elektrik sepanjang proses pengiraan undi berlangsung di dewan itu. Tidak ada gangguan bekalan elektrik dan cerita mengenainya adalah tidak benar sama sekali.

 “Kami terima kekalahan itu dan sudah memulakan kerja selepas keputusan diumumkan. Tidak perlu cakap pasal isu ini lagi kerana ia dianggap sudah selesai,” katanya.

Seorang lagi wakil rakyat DAP yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabai pada PRU13 lalu, turut tampil menafikan berlakunya gangguan bekalan elektrik ketika proses pengiraan undi di dewan berkenaan.

D Kamache berkata, beliau berada di pusat penjumlahan undi itu sejak jam 9 malam dan hanya beredar kira-kira jam 2 pagi, selepas semua keputusan diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Datuk Toantowee Mohd Lotfie.

“Sepanjang pengetahuan saya, tidak ada berlaku sebarang gangguan bekalan elektrik di dalam dewan berkenaan. Saya berada di dalam dewan itu sehingga jam 2 pagi dan ia (pengiraan dan pengumuman keputusan) berjalan lancar.

“Dalam tempoh lima jam menanti keputusan itu, saya ada keluar sekejap untuk ke bilik rehat... tapi saya tidak pasti dakwaan gangguan bekalan elektrik itu disebarkan oleh siapa.

 “Memang ada penyokong (pembangkang) yang mendakwa ternampak trak Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhampiran dewan itu, cuma tidak pasti apa tujuannya ia diletakkan di situ,” katanya.

Kamache memperoleh 4,439 undi selepas menewaskan calon BN, P Goonasekaran dengan majoriti 117 undi.  - BH

No comments:

Post a Comment