Dua peserta konvoi motosikal maut kemalangan
KOTA TINGGI, AHAD, 19 Mei, 2013: Konvoi sekumpulan 40 penunggang motosikal dari Klang, Selangor ke Desaru terpaksa dibatalkan apabila dua daripada mereka maut dalam kemalangan melibatkan empat buah kenderaan di Kilometer 22.5, Jalan Kulaijaya-Kota Tinggi di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, Muhammad Fadzirul Hakimi Abd. Rahim, 21, dan Muhammad Adib Jasmani, 23, terbunuh setelah motosikal mereka dipercayai bergesel sesama sendiri lalu terjatuh di laluan bertentangan sebelum dilanggar sebuah van dari arah bertentangan.
Kedua-dua mereka meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan beberapa bahagian badan manakala seorang lagi penunggang cedera parah dan kini dirawat di Hospital Kota Tinggi (HKT).
Ketua Polis Daerah, Supritendan Mohd. Nor Rasid ketika dihubungi memberitahu, kemalangan itu melibatkan empat buah kenderaan iaitu sebuah van jenis Mazda serta tiga buah motosikal jenis Honda Wave.
Menurut beliau, mayat kedua-dua mangsa yang berasal dari Klang dan Banting, Selangor telah dituntut oleh ahli keluarga masing-masing selepas selesai bedah siasat malam tadi.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila tiga buah motosikal termasuk dua ditunggangi mangsa bergesel sesama sendiri menyebabkan mereka terjatuh di laluan bertentangan.
"Sebuah van yang dalam perjalanan ke Kulai gagal mengelak lalu melanggar kedua-dua mangsa yang terjatuh di laluannya," katanya. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment