My Add

Monday 20 May 2013

Dua sahabat edar dadah digantung sampai mati

JOHOR BAHRU, ISNIN, 20 Mei, 2013: Dua sahabat dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah atas tuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat hampir setengah kilogram, dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Samsudin Hassan memutuskan demikian terhadap Mohamad Shahrudin Md. Isa, 32, dan Mohamad Yusof Mohamad Ali, 30, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Dalam penghakimannya, beliau berkata, keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan juga amat kuat ke atas kedua-dua tertuduh yang bekerja sebagai pembuat kraftangan.

Mohamad Shahrudin dan Mohamad Yusof disabitkan bersalah atas tuduhan mengedar kanabis seberat 426.78 gram di Kilometer 21, Jalan Mersing-Kota Tinggi, Jamaluang, Mersing pada pukul 9.45 malam, 14 Julai 2011.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Menurut fakta kes, dalam kejadian itu, kedua-dua tertuduh yang menaiki sebuah kereta Perodua Viva ditahan dalam satu sekatan lalu lintas oleh pasukan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan dinaiki kedua-duanya menemukan satu plastik hitam yang mengandungi dua plastik berwarna putih dari laci papan pemuka kereta berkenaan.

Analisis Jabatan Kimia kemudiannya mengesahkan kandungan plastik itu ialah dadah jenis kanabis seberat 426.78 gram.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Anwar Ab. Raof manakala tertuduh-tertuduh diwakili peguam bela, Mohd. Fadzli Mohd. Ramli dan Mohd. Ridzuan Muhamad. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment