Ekonomi dijangka kukuh separuh kedua
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 17 Mei, 2013: Ekonomi Malaysia dijangka berkembang kukuh dalam separuh kedua tahun ini susulan berakhirnya situasi tidak menentu politik dan keyakinan terhadap dasar kukuh ekonomi Malaysia, kata Pengarah Urusan Credit Suisse Securities (M) Sdn. Bhd., Stephen Hagger.
Beliau berkata, Malaysia akan menyertai kelab eksklusif yang ketika ini terdiri dari Filipina dan Thailand yang mempunyai semua ketiga-tiga elemen kepastian terutama sekali ekonomi, pendapatan korporat dan kestabilan politik.
Dalam suku pertama tahun ini, ekonomi Malaysia tertangguh seketika dengan setiap orang meramalkan tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), katanya.
"Berdasarkan kepada ramalan kami, ekonomi Malaysia dijangka berkembang sekitar lima peratus tahun ini, dirangsang oleh Program Transformasi Ekonomi (ETP) kerajaan," katanya kepada pemberita pada forum yang bertajuk "PRU13 - Apakah maknanya bagi Perniagaan?" hari ini.
Hagger berkata, pertumbuhan konsisten Keluaran Dalam Negara kasar dan kestabilan politik di Malaysia akan mengukuhkan ekonomi.
Beliau berkata, fokus kerajaan Malaysia sekarang adalah untuk mengurangkan defisit bajet kepada empat peratus tahun ini.
"Semua orang berusaha untuk mencapai lebihan bajet menjelang 2020 dan kita menuju ke arah hala tuju yang betul.
"Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) melihat dengan berhati-hati petanda bahawa defisit semasa terkawal walaupun tidak perlu tergesa-gesa, tetapi hala tuju perlu ada dan ini adalah dalam kawalan kerajaan Malaysia," katanya.
Ditanya tentang cadangan beliau bagi mendapatkan KLCI yang lebih kukuh, Hagger berkata, KLCI akan mendapat rangsangan daripada saham pembinaan dan perbankan.
"Saya menjangka saham pembinaan seperti Gamuda, IJM dan UEM Land meningkat naik, dirangsang oleh projek kerajaan di bawah ETP," katanya.
Beliau berkata, saham perbankan seperti CIMB, RHB dan OSK juga akan kukuh.
Mengenai Maybank, Hagger berkata, pelantikan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif bank itu, Datuk Seri Abdul Wahid Omar sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi bahagian Unit Perancang Ekonomi, akan memberi kesan yang sangat besar bagi bank itu.
"Bagaimanapun, tidak ada kebimbangan besar tentang itu kerana bank tersebut masih kukuh dan akan kekal kukuh tahun ini," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment