![]() |
| ABDUL WAHID OMAR |
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sederhana dalam tempoh suku pertama mencerminkan aktiviti ekonomi yang lemah kerana suasana politik yang tidak menentu sebelum ini.
Abdul Wahid dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas Unit Perancangan Ekonomi (EPU) setelah menerajui Maybank sejak 1 Mei 2008 dan akan mengangkat sumpah sebagai Senator pada 5 Jun.
"Saya menjangkakan ekonomi negara akan mencatatkan peningkatan dalam tempoh separuh kedua berdasarkan kedudukan ekonomi semasa yang kukuh.
"Peningkatan itu juga dijangkakan berlaku apabila suasana politik yang tidak menentu sebelum ini sudah pun berakhir," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Kebangsaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) 2013 dengan tema "Tadbir Urus Korporat: Bahasa Global Baharu Untuk Perniagaan" di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

No comments:
Post a Comment