My Add

Sunday, 19 May 2013

Gunakan saluran yang betul jika tidak berpuas hati berhubung sesuatu isu

KUANTAN, AHAD, 19 Mei, 2013: Mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan sesuatu isu perlu menggunakan saluran yang betul untuk menyuarakan perkara itu dan tidak mengheret isu berkenaan ke jalanan atau mengadakan perhimpunan haram yang akhirnya menggugat ketenteraman awam.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, orang ramai mempunyai saluran yang sah seperti meminta bantuan wakil rakyat untuk membawa sebarang isu berkenaan ke peringkat Parlimen.

"Mereka boleh menyuarakan pandangan menerusi wakil rakyat dan membawanya ke Parlimen kerana hanya pembuat dasar yang boleh melakukan sebarang perubahan tersebut.

"Bukannya dengan menyertai atau terlibat dengan perhimpunan atau sebarang aktiviti yang boleh menggugat ketenteraman awam dan keharmonian perpaduan kaum dalam masyarakat kita hari ini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Lee diminta mengulas mengenai trend sesetengah pihak dalam negara ini yang mengheret rakyat mengadakan perhimpunan secara haram atau jalanan bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu isu termasuk isu politik.

Mengulas lanjut, Lee berkata, setiap rakyat di negara ini mempunyai hak untuk berhimpun secara aman dan jika mereka ingin menyertainya perlulah mengikut lunas undang-undang.

"Sebagai contoh, mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012, setiap penganjur perhimpunan perlu mendapat kebenaran pihak polis 10 hari daripada tarikh perhimpunan diadakan, jadi ikutlah peraturan tersebut," katanya. 

Dalam pada itu mengenai pencegahan jenayah dalam negara, Lee meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) mengadakan peruntukan khas bagi meningkatkan keperluan logistik seperti lampu jalan atau kamera litar tertutup (CCTV) untuk ditempatkan di kawasan berisiko berlakunya jenayah.

"Ia adalah perlu bagi mengurangkan kejadian jenayah ragut terutamanya terhadap golongan wanita yang sering berlaku di kawasan lorong-lorong gelap akibat kurang atau tiadanya lampu jalan dan pengawasan CCTV," katanya.

Turut hadir, Pengerusi MCPF Pahang, Datuk Johny Ch'ng. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment