Himpunan di Utusan Melayu: Khalid diminta bertindak tegas
KUALA LUMPUR, AHAD, 19 Mei, 2013: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar diminta bertindak tegas terhadap penganjur yang merancang mengadakan perhimpunan haram di hadapan Ibu Pejabat Utusan Melayu di Jalan Chan Sow Lin di sini, esok.
Setiausaha Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hassan Syed Ali berkata, tindakan tegas itu perlu diambil sekiranya penganjur perhimpunan tersebut didapati melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012.
"Dalam isu ini, Perkasa mahu mana-mana pihak yang berhimpun tanpa mematuhi syarat-syarat hendaklah diambil tindakan tegas," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Baru-baru ini, ahli DAP, Hata Wahari merancang mengadakan demonstrasi di hadapan pejabat Utusan Malaysia pada 20 Mei ini bermula 5 petang kerana mendakwa kononnya akhbar ini bersikap rasis.
Syed Hassan berkata, Perkasa akan terus menyokong Utusan Malaysia kerana akhbar Melayu itu merupakan lidah perjuangan agama, bangsa dan negara.
Sementara itu, Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Wilayah Persekutuan akur dengan arahan pihak berkuasa untuk tidak berhimpun di hadapan Ibu Pejabat Utusan Malaysia esok.
Pengerusinya, Datuk Roslan Dahaman berkata, ahli-ahlinya tidak akan bertindak sekiranya perhimpunan haram yang didalangi Hata yang dirancang di lokasi sama dibatalkan.
Walau bagaimanapun, kata beliau, pihaknya bersedia hadir memberi sokongan kepada Utusan Malaysia sekiranya penganjur masih berdegil mengadakan perhimpunan haram itu.
"Pekida Wilayah Persekutuan mengingatkan puak-puak yang biadab ini jangan sesekali bermain dengan sentimen orang Melayu.
"Sebelum ini tidak pernah ada mana-mana pertubuhan Melayu mengadakan himpunan di hadapan syarikat akhbar Cina, tetapi kenapa ada pihak yang hendak berhimpun dan membantah di hadapan pejabat Utusan Malaysia?," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment