Oleh KAMIL MASLIH
![]() |
*HASAN Malek menunjukkan tanda bagus sambil menunggang motosikal keluaran terbaharu Modenas, model MR1 pada Ekspo Beli Barangan Malaysia 2013 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Saripuddin Kasin (dua kanan). |
Menurut Hasan, setakat ini pihaknya tidak mendapati sebarang kenaikan harga barangan sekali gus meminta orang ramai tidak terpengaruh khabar angin disebarkan pembangkang yang bertujuan memburukkan kerajaan.
"Penyokong pembangkang menyebarkan benda yang tidak betul, tiada barangan kawalan yang naik harga, malah subsidi sedia ada terus kekal.
"Jangan sebarkan khabar angin, kita perlu mengutamakan kepentingan negara tetapi jika ada peniaga yang benar-benar sengaja naikkan harga, saya akan turun ke bawah untuk ambil tindakan," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Ekspo Beli Barangan Malaysia 2013 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Menurut Hasan, beliau menyelar sikap penyokong pembangkang yang terlalu berpolitik bagi menyebar dakyah-dakyah palsu sehingga meminggirkan tanggungjawab bersama membangunkan negara.
"Jangan hanya cakap politik, seolah-olah mahukan rakyat marah kerajaan, kalau benar ada harga barang naik, kita akan siasat dan ambil tindakan, malah komitmen pegawai-pegawai kementerian saya begitu tinggi," katanya.
Berhubung program diadakan hari ini, Hasan menyatakan rasa bangga dengan kejayaan pelbagai produk Malaysia yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa.
"Selain itu, pelbagai pengiktirafan diterima dengan Kuala Lumpur berada dalam ranking keempat di dunia bagi kawasan beli-belah terbaik dan Malaysia berada di kedudukan ke-12 di dunia sebagai negara paling berdaya saing bagi menjalankan perniagaan," katanya.
Menurut Hasan, dengan memegang erat semangat 'Malaysia Boleh', beliau yakin lebih banyak produk tempatan yang berkualiti, berjenama dan berharga kompetitif dapat dihasilkan.
Mengulas usaha beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam yang memboikot beberapa produk bukan bumiputera yang terlalu mementingkan keuntungan, Hasan berkata, pandangan NGO terbabit tidak mewakili kerajaan.
"Itu hak dan kepentingan NGO masing-masing, itu suara mereka dan nama pun pertubuhan bukan kerajaan, tetapi kementerian ini adalah untuk semua rakyat termasuk Melayu, India, Cina, Kadazan dan Bidayuh, semua sama, demi kebaikan negara," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment