My Add

Saturday, 18 May 2013

Jumlah kontraktor Kelas F disenarai hitam meningkat

KOTA BHARU, SABTU, 18 Mei, 2013: Jumlah kontraktor kelas F yang disenarai hitam oleh Suruhanjaya Perumahan Negara Berhad (SPNB) meningkat lebih enam kali ganda atau sebanyak 640 peratus iaitu seramai 888 berbanding hanya 120 orang pada tahun 2011.

Pengarah Urusan SPNB, Datuk Dr. Kamarul Rashdan Salleh berkata, peningkatan drastik itu agak membimbangkan memandangkan hampir kesemua mereka terdiri daripada kontraktor yang baharu menceburi bidang itu dan dikategorikan dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menurut beliau, kesemua kontraktor berkenaan terpaksa disenarai hitam selepas projek yang dijalankan terbengkalai meskipun SPNB memberi banyak kelonggaran termasuk tempoh lanjutan, namun masih gagal dipatuhi.

Sehubungan itu katanya, SPNB memperkenalkan beberapa langkah segera untuk mengatasi masalah itu kerana mengambil kira masa depan kontraktor terbabit terutama yang baharu memulakan perniagaan masing-masing.

"Daripada 8,914 kontraktor yang ada kira-kira 10 peratus telah disenarai hitam. Pada 2011 saya pernah nyatakan 120 disenarai hitam tetapi hari ini meningkat kepada 888 jadi kita tidak merasa gembira dengan angka ini kerana kebanyakan mereka adalah kontraktor muda yang baharu mula dan terlibat dalam PKS.

"Kemungkinan besar masalah dihadapi disebabkan kurang pengalaman dan kurang tenaga kerja jadi macam mana kita mahu lahirkan usahawan baharu kalau baru mula sudah terjejas," katanya dalam sidang akhbar selepas berucap pada program Siri Ceramah Pengerusi-Pengerusi Global 2013 bertemakan Keusahawanan dan Pengurusan Risiko di sini. - UTUSAN ONLINE.

No comments:

Post a Comment