Karpal patut hormat Perlembagaan
KUALA LUMPUR, SELASA, 21 Mei, 2013: Pengerusi DAP, Karpal Singh yang sebelum ini mencadangkan pemansuhan Dewan Negara, diingatkan supaya lebih bertanggungjawab dengan menghormati kedaulatan undang-undang serta Perlembagaan Persekutuan.
Gesaan itu dinyatakan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang yang turut meminta Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu tidak membuat sebarang kenyataan mengelirukan rakyat.
Kepada soalan sama ada tindakan pemimpin DAP itu boleh dianggap menghina Dewan Negara, beliau berkata, Karpal yang juga seorang pengamal undang-undang seharusnya lebih memahami perjalanan sistem Perlembagaan Persekutuan.
"Dia patut faham apa itu Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, janganlah buat sebarang kenyataan yang mengelirukan rakyat dan jangan lupa kita seharusnya menjadi pemimpin bertanggungjawab.
"Saya melihat ini (kenyataan Karpal) semata-mata nak kelirukan rakyat dan saya mohon dia supaya bersama-sama mengamalkan dan menghormati kedaulatan undang-undang serta Perlembagaan,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Dewan Negara bagi penggal kedua di depan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Datuk Doris Sophia Brodi di Dewan Negara di sini hari ini.
Karpal sebelum ini mencadangkan supaya Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi membolehkan Dewan Negara dimansuhkan kerana kewujudan Dewan Negara tidak memberi makna secara menyeluruh dan hanya membazir.
Abu Zahar memberitahu, sebagai pemimpin yang berpengalaman, Karpal tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan lagi senario semasa negara.
"Ingatlah, Perlembagaan Persekutuan inilah yang telah kita guna pakai sejak merdeka lagi dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berjaya, aman serta harmoni.
"Rakyat yang bijak menilai, eloklah menilai (tindakan Karpal) itu dan saya minta semua pihak, fahami Perlembagaan dengan sebaiknya," tegasnya.
Berhubung majlis angkat sumpah beberapa anggota Kabinet dalam kalangan ahli Dewan Negara, jelasnya, semuanya itu akan diteliti mengikut prosedur mengenainya.
Sementara itu, bercakap mengenai lantikan semula sebagai Yang Dipertua Dewan Negara, beliau melahirkan rasa syukur dan berazam melaksanakan tanggungjawab dengan amanah serta dedikasi.
"Saya akan menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin demi agama, bangsa dan negara dan cuba menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin tanpa ada prejudis serta prasangka," katanya.
Terdahulu dalam sesi khas Dewan Negara itu, usul Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mencadangkan Abu Zahar dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Negara mengikut Peraturan Mesyuarat 2 (1) dikemukakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dan disokong Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek.
Doris Sophia kemudiannya membuat pengumuman memasyhurkan Abu Zahar sebagai Yang Dipertua Dewan Negara. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment