My Add

Tuesday, 21 May 2013

Kebun durian jadi makmal dadah dibongkar

PULAU PINANG, ISNIN, 20 Mei, 2013: Taktik tiga lelaki tempatan dan seorang wanita warga Indonesia menjadikan sebuah kebun durian di Batu Itam, Balik Pulau, sebagai lokasi untuk memproses dadah jenis syabu terbongkar dalam serbuan polis pada 14 Mei lalu.

Dalam serbuan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang kira-kira pukul 11 malam itu, polis turut merampas sejumlah dadah dianggarkan bernilai RM1.2 juta.

Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, serbuan itu adalah hasil maklumat orang awam yang merasa curiga dengan kegiatan kumpulan terbabit di kawasan kebun berkenaan.

Menurutnya, siasatan mendapati kumpulan itu dipercayai telah beroperasi sejak empat bulan lalu dan dadah yang dihasilkan untuk pasaran utara Semenanjung.

"Dadah-dadah dirampas itu terdiri daripada 6.2 kilogram serbuk disyaki ekstasi, enam liter minyak Methamphetamine, 39 gram dadah disyaki syabu serta peralatan yang digunakan untuk memproses dadah dan bahan-bahan kimia lain.

"Selain itu, polis turut menyita tiga buah kereta milik kumpulan terbabit, dua buah motosikal dan wang dalam akaun yang berjumlah RM186,000," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, kesemua yang ditahan berusia antara 26 hingga 48 tahun dan akan direman sehingga 21 Mei ini.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mandatori gantung sampai mati. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment