My Add

Wednesday, 1 May 2013

Keputusan penghakiman ingkar terhadap Saifuddin 22 Mei

KUALA LUMPUR, SELASA, 30 April, 2013: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 22 Mei ini keputusan permohonan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bagi mendapatkan perintah penghakiman ingkar kehadiran terhadap Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Saifuddin Nasution Ismail (gambar) berhubung satu kes saman fitnah terhadapnya dan enam yang lain.

Saman tersebut antara lain berkaitan penyiaran artikel yang mendakwa wujudnya urus niaga antara agensi itu dengan Israel dalam lidah rasmi Pas, Harakah dan akhbar rasmi PKR, Suara Keadilan pada tahun lalu.

Tarikh berkenaan dimaklumkan kepada pemberita oleh peguam, Choo Shi Jin yang mewakili Felda selepas pengurusan kes itu di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Lee Heng Cheong hari ini dengan kehadiran peguam S.H. Tan bagi pihak Saifuddin.

Menurut Shi Jin, mahkamah juga mengarahkan pihaknya memfailkan penghujahan bertulis bagi permohonan tersebut pada 10 Mei ini.

Beliau turut memberitahu, Saifuddin telah mengemukakan kehadirannya selepas menerima permohonan penghakiman ingkar terhadapnya daripada Felda pada 8 April lalu.

Saifuddin yang disaman atas kapasitinya sebagai pemegang jawatan PKR dinamakan sebagai defendan ketujuh.

Permohonan penghakiman ingkar terhadap Saifuddin yang bertanding merebut kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baharu pada pilihan raya Ahad ini, difailkan oleh Felda pada 5 April lalu atas alasan defendan ketujuh itu tidak memfailkan memorandum kehadiran dalam tempoh 14 hari.

Walhal, satu salinan writ saman dan pernyataan tuntutan bertarikh 8 Januari lalu telah diserahkan kepada defendan itu pada 17 Januari lalu di pejabatnya di Ibu Pejabat PKR, Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan 1, Petaling Jaya, dekat sini.

Mahkamah sebelum ini telah menetapkan perbicaraan kes saman fitnah itu selama tiga hari bermula 22 Julai depan.

Dalam saman yang difailkan pada 7 Januari lalu, Felda menamakan Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman; Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali dan Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman defendan pertama hingga ketiga.

Turut disenaraikan sebagai defendan keempat hingga keenam ialah Pengarang Harakah, Taufek Yahya; penulis artikel, Mohd. Arif Atan; dan pencetak akhbar tersebut, Angkatan Edaran ENT Sdn. Bhd.

Dalam pernyataan tuntutannya, Felda menyatakan, saman itu difailkan ekoran ucapan Mazlan dalam perhimpunan haram di hadapan pejabat plaintif pada 23 November 2012 yang turut disiarkan dalam Facebook beliau bertajuk, Bukti Felda jual minyak sawit mentah (MSM) ke Israel.

Rentetan daripada itu, beberapa artikel bertajuk, Felda urus niaga dengan Israel, BN khianati rakyat Palestin, Minyak sawit dijual ke Israel dan Felda urus niaga dengan Israel, BN khianati Palestin diterbitkan dalam Harakah bagi edisi bertarikh antara 26 dan 29 November tahun lalu.

Akhbar Suara Keadilan bertarikh 27 November 2012 pada muka surat 10, pula menerbitkan artikel bertajuk, 2,000 himpun bantah Felda jual minyak sawit ke Israel dan BN jangan tipu rakyat.

Felda juga mendakwa, defendan pertama memfitnahnya pada 19 November 2012 kerana memuat naik satu gambar invois bersama kapsyen di Facebook miliknya bertajuk, Bukti Felda jual minyak sawit mentah ke Israel.

Plaintif dengan itu menuntut ganti rugi keterlaluan dan ganti rugi teladan atas dasar defendan pertama berniat jahat dan sengaja mahu menghancurkan kepercayaan rakyat bagi meneruskan agenda tersendiri untuk kepentingan politik.

Sementara itu, pernyataan pembelaan defendan pertama hingga keenam mendakwa, pihak plaintif tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk memulakan tindakan saman itu.

Keenam-enam defendan berkenaan yang memohon saman itu ditolak, turut bergantung kepada perlindungan bersyarat dan ulasan saksama demi kepentingan awam dalam pembelaan mereka. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment