My Add

Sunday, 19 May 2013

Khairy tidak sepatutnya bercakap bagi pihak Zahid - ZAM

KUALA LUMPUR, SABTU, 18 Mei, 2013: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin tidak sepatutnya bercakap bagi pihak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung kenyataan supaya pihak yang tidak boleh menerima sistem politik negara berhijrah ke luar negara.

Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin berkata, Ahmad Zahid sendiri tidak seharusnya bersikap apologetik selepas dikritik berhubung kenyataan itu kerana pihak yang mengkritiknya tidak memberi faedah kepada Barisan Nasional (BN) atau negara.

"Mereka ini adalah golongan yang jika berbudi bahasa atau bercakap dengan bahasa beradab pun tidak melihat kebenaran kerajaan dan tidak akan kembali menyokong kerajaan," katanya seperti dipetik menerusi blognya di http://zamkata.blogspot.com hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Khairy seperti disiarkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang menyifatkan kenyataan Ahmad Zahid itu merupakan pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian kerajaan.

Menurut Zainuddin, jika kenyataan Ahmad Zahid itu tidak sesuai pada pandangan Khairy, tidak bermakna kenyataan tersebut juga tidak sesuai kepada majoriti ahli UMNO yang memilih Ahmad Zahid sebagai Naib Presiden.

Malah, katanya, kenyataan Khairy itu memberi impak kepada pendirian Ahmad Zahid sebagai Menteri Dalam Negeri dalam menghadapi cabaran daripada kumpulan yang tidak tahu mengenang budi.

"(Ahmad) Zahid tidak perlu menjelaskan bahawa kenyataannya itu telah difahami diluar konteks oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab. Mereka sengaja berbuat demikian," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment