My Add

Friday, 17 May 2013

Kimma rayu PM pertimbang jawatan Kabinet

PULAU PINANG, KHAMIS, 16 Mei, 2013: Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) Negeri ini merayu agar Perdana Menteri mempertimbangkan untuk melantik wakil parti itu menyertai barisan Kabinet yang diumumkan semalam.

Pengerusi Badan Perhubungannya, Faruk Raja Mohamed berkata, pertimbangan itu perlu memandangkan Kimma banyak membantu dalam menyokong dan menggerakkan jentera Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) sepanjang tempoh berkempen lalu.

Katanya, sehingga kini ahli Kimma menjangkau 285,000 orang dan parti itu sentiasa setia dengan Barisan Nasional (BN) sejak dari zaman kemerdekaan lagi.

"Kita dengan rendah diri memohon jasa baik Datuk Seri Najib Tun Razak agar mempertimbangkan untuk melantik wakil Kimma sebagai Timbalan Menteri di mana-mana kementerian yang dirasakan sesuai.

"Masyarakat India Muslim kini merangkumi 675,000 orang di seluruh negara dan adalah perlu seorang wakil Kimma berada dalam Kabinet bagi membawa suara kami ke peringkat Persekutuan," katanya kepada pemberita di pejabat Kimma di sini hari ini.

Faruk dalam pada itu menambah, pihaknya juga akan menghantar surat bagi menyatakan rayuan mereka berhubung isu tersebut kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat.

Jelasnya, beliau yakin permohonan itu akan dipertimbangkan Perdana Menteri sebagai tanda perhargaan dan sumbangan masyarakat India Muslim yang selama ini bekerja keras dalam memastikan BN terus diberi mandat oleh rakyat.

"Hasrat agar wakil Kimma dilantik dalam barisan Kabinet ini juga telah kita suarakan dalam Konvensyen Kimma Kebangsaan ke-36 yang diadakan pada 13 September 2012 lalu dan telah dipanjangkan kepada Perdana Menteri.

"Oleh itu besar harapan kami agar permohonan ini mendapat perhatian sewajarnya supaya kehadiran wakil Kimma ke dalam Kabinet dapat menyemarakkan lagi perjuangan BN dalam membela rakyat," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment