My Add

Sunday, 19 May 2013

KKLW rangka program banyakkan peluang ekonomi: Shafie Apdal

SEMPORNA, SABTU, 18 Mei, 2013: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) akan merangka program yang lebih berkesan bagi membanyakan aktiviti ekonomi dan meningkatkan peluang pekerjaan untuk masyarakat luar bandar.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata melalui pendekatan itu masyarakat luar bandar terutama golongan belia akan mendapat peluang pekerjaan tanpa perlu berhijrah ke kawasan bandar.

"Kita akan merangka bagaimana untuk memastikan supaya program penyediaan peluang-peluang pekerjaan dan kegiatan ekonomi di kawasan luar bandar dapat diperbanyakkan. Jadi masyarakat luar bandar tidak perlu berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan.

"Apabila ini kita dapat sediakan, kita bukan sahaja dapat menyelaraskan kehendak masyarakat, tetapi sekaligus membangunkan kawasan luar bandar. Ini adalah sebahagian daripada kerangka yang kita akan susun-atur dalam tempoh terdekat," katanya.

Shafie berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Kesyukuran dan Apresiasi Pengundi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) di sini hari ini.

Menurut beliau, jika penggal lepas, kementeriannya banyak memberi tumpuan kepada pembinaan dan penyediaan kemudahan asas kawasan luar bandar, tetapi pada penggal ini tumpuan turut diberikan kepada peningkatan kegiatan ekonomi luar bandar.

"Kita akan terus memberi tumpuan kepada penyediaan kemudahan asas atau prasarana luar bandar, namun kita akan adunkannya dengan pelbagai kegiatan ekonomi membabitkan belia, pembangunan belia luar bandar, penglibatan belia dalam pertanian, perniagaan dan keusahawanan," katanya.

Shafie berkata kerangka program berkenaan akan disusun-atur sebaik-baiknya termasuk membuat penyelarasan dengan kementerian dan agensi lain bagi mengelak pertindihan seterusnya memastikan sistem penyampaiannya kepada golongan sasar lebih berkesan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment