My Add

Sunday, 19 May 2013

Kohilan Pillay cadang Selangor lantik dua anggota Exco keturunan India

SHAH ALAM, SABTU, 18 Mei, 2013: Pengerusi GERAKAN Selangor, A Kohilan Pillay mencadangkan supaya kerajaan Selangor mempunyai sekurang-kurangnya dua anggota exco berketurunan India untuk membolehkannya berkhidmat dengan lebih berkesan kepada masyarakat itu di negeri itu.

Beliau berkata, oleh kerana Selangor adalah antara negeri yang mempunyai paling ramai penduduk kaum India, maka pelantikan dua anggota exco daripada keturunan itu adalah langkah paling berkesan untuk mendampingi masyarakat berkenaan.

"Isu berkaitan estet dan kuil menjadi kebimbangan utama kebanyakan anggota masyarakat India di Selangor sejak pakatan rakyat mengambil alih pentadbiran negeri ini pada 2008, dan pertambahan seorang lagi wakil masyarakat India dalam barisan exco diperlukan untuk menyuarakan perkara yang menjadi kebimbangan mereka sejak sekian lama," katanya hari ini.

Kohilan, yang kalah dalam pertandingan merebut kerusi Parlimen Puchong dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), 5 Mei lalu, berkata kerajaan pakatan DAP, PAS dan PKR Selangor tidak sepatutnya mempunyai masalah untuk melantik dua anggota exconya daripada keturunan India memandangkan kerajaan Puilau Pinang, yang diterajui DAP, melantik dua anggota exconya daripada keturunan itu.

Julung kalinya, Pulau Pinang melantik dua orang berketurunan India - Timbalan Ketua Menteri (II), Dr P Ramasamy dan Jagdeep Singh Deo - menganggotai kerajaan negeri itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment