My Add

Saturday, 25 May 2013

Kongres PKR lulus usul tangguh pemilihan 6 bulan

NORUTUL ILHAM MAD JARI
 
 Saifuddin Nasution Ismail
PETALING JAYA, SABTU, 25 Mei, 2013: Kongres PKR hari ini meluluskan usul penangguhan pemilihan kepimpinan parti itu selama enam bulan bermula tempoh pengakhirannya pada November tahun ini.

Menurut Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, usul tergempar itu diterima sebulat suara oleh para perwakilan.

Mengikut perlembagaan PKR, tempoh pemegang jawatan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) adalah tiga tahun dan hanya akan berakhir pada November tahun ini.

"Tempoh tiga tahun berakhir November tahun ini, bagaimanapun tadi saya telah membentangkan usul tergempar ini dan meminta supaya tempoh memegang jawatan itu dilanjutkan kepada enam bulan lagi seperti yang dibenarkan dalam Perlembagaan parti.

"Kongres sebagai pembuat keputusan tertinggi dalam parti bersetuju dengan usul tersebut sekaligus bermakna pemilihan parti akan ditangguhkan dan pemilihan parti di peringkat cabang juga akan ditangguhkan," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau yang juga akan mengetuai jawatankuasa mengkaji peruntukkan itu berkata, pihaknya turut akan mengkaji peruntukkan pindaan dalam parti.

"Apabila ia selesai dikaji, ia mesti diadakan kongres khas yang bertujuan untuk meluluskan pindaan perlembagaan.

"...tetapi kongres khas itu akan diadakan tahun ini, manakala pemilihan boleh ditangguhkan ke tahun depan sehingga bulan April," katanya.

Sebelum ini, Saifuddin menjelaskan, pertimbangan untuk penangguhan itu dibuat kerana jentera parti baru sahaja berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) dan memerlukan masa untuk membina semula kekuatan parti.

"PRU13 merupakan satu pertempuran besar yang memakan banyak belanja dan tenaga, sebab itu kita perlu menimbangkan sama ada perlu memperkemaskan semula saf pasukan," katanya.

Beliau turut memaklumkan, pihaknya sudah memaklumkan kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) berhubung perkara itu. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment