Malaysia kekal rakan dagang utama China di ASEAN
BEIJING, KHAMIS, 23 Mei, 2013: Malaysia terus menjadi rakan dagang terunggul China dalam Asean, dengan peningkatan perdagangan dua hala sebanyak 23.9 peratus tahun ke tahun antara kedua-dua negara kepada US$33.88 bilion (RM102.21 bilion) dalam suku pertama tahun ini.
Eksport Malaysia ke China dari Januari hingga April tahun ini bertambah 7.3 peratus, manakala import dari China bertambah 55.8 peratus berbanding tahun lepas, kata Naib Ketua Setiausaha Eksekutif Majlis Perniagaan China-Asean, Xu Ningning.
Perdagangan dua hala China-Asean berjumlah US$138.97 bilion (RM419.26 bilion) dalam empat bulan pertama tahun ini, meningkat 18.1 peratus tahun ke tahun, kata Xu pada satu sidang akhbar di sini hari ini.
"Eksport China ke rantau Asean meningkat 30.6 peratus tahun ke tahun, manakala import dari negara-negara Asean bertambah 6.5 peratus berbanding tahun lepas," katanya.
Sebelum itu, Xu berkata, sebanyak 60 syarikat China dan 45 syarikat Asean berada dalam senarai pertama Jenama Terkenal Dicadangkan Dwihala China-Asean.
Senarai China terdiri daripada makanan, ubat-ubatan dan produk kesihatan, peralatan, bahan binaan dan simen, manakala senarai Asean termasuk barang kemas, bir, kopi, peralatan menangkap ikan, kondimen, logistik dan perkhidmatan perbankan.
Senarai ini bertujuan meningkatkan pembangunan perusahaan antara China dan negara-negara Asean dengan tumpuan kepada pertumbuhan perdagangan dua hala yang subur.
"Ia juga bertujuan memperkukuh kerjasama dalam pembinaan jenama, meningkatkan produktiviti dalam rantau ini, dan meningkatkan keberdayasaingannya di peringkat global," tegas Xu.
Senarai berikutnya akan diumumkan dalam suku akan datang, katanya.
Menteri Kaunselor (Ekonomi) di Kedutaaan Malaysia di China, Ong Chong Yi, memberitahu Bernama bahawa Malaysia akan mencadangkan perabot nilai tinggi, barang kemas, getah dan produk makanan untuk dimasukkan ke dalam senarai itu.
"Kami akan mencadangkan produk dari bidang-bidang kerjasama ekonomi yang berpotensi," katanya.
Pada masa ini, tiga syarikat Malaysia yang mengeluarkan produk elektrik, sistem palang bas dan makan kesihatan, penjagaan peribadi dan hiasan rumah, berada dalam senarai itu. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment