My Add

Friday, 24 May 2013

Mubarak: Lepaskan kerakyatan jika tidak setuju keputusan PRU-13

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 23 Mei, 2013: Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Negeri Melaka menyeru rakyat negara ini yang berada di luar negara dan memegang status penduduk tetap, melepaskan kerakyatan sekiranya tidak berpuas hati dengan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Setiausahanya, Datuk Md. Di A. Ghani berkata, mereka yang menentang kerajaan diminta berbuat demikian dengan segera dan memilih negara yang boleh memberi kesenangan dan kemewahan hidup kepada mereka.

"Golongan pelajar yang menentang kerajaan tetapi melanjutkan pelajaran di bawah pembiayaan kerajaan juga hendaklah segera ditarik balik.

"Pihak kerajaan jangan bagi muka dan bertolak ansur lagi dengan golongan tersebut yang tidak mengenang budi dan memburuk-burukkan kerajaan dan negara sendiri," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan segelintir pihak yang membuat demonstrasi jalanan di luar negara yang membantah keputusan PRU-13 baru-baru ini.

Dalam pada itu, Md. Di turut menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak lebih tegas dan menghalang perhimpunan haram yang tidak memberi manfaat itu.

Beliau turut menyelar pemegang saham terbesar AirAsia X, Datuk Seri Kalimullah Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Azran Osman-Rani yang mengkritik akhbar Utusan Malaysia.

"Tindakan Kalimullah dan Azran memperlekehkan Utusan Malaysia boleh dianggap seperti mengkhianati bangsanya sendiri.

"Oleh kerana Utusan Malaysia merupakan lidah rasmi orang Melayu, sepatutnya akhbar itu dipertahan bukan diperlekehkan," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment