My Add

Saturday, 18 May 2013

Nik Nazmi tidak mengaku salah

Oleh UMAVATHI RAMAYAH

 *NURUL Izzah Anwar turut hadir memberi sokongan kepada Nik Nazmi Nik Ahmad (dua dari kiri) yang didakwa menganjurkan perhimpunan haram di Stadium Kelana Jaya di Mahkamah Petaling Jaya, semalam. - UTUSAN/ Nasirruddin Yazid
PETALING JAYA, JUMSST, 17 Mei, 2013: Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan berhubung perhimpunan yang diadakan di sebuah stadium di Kelana Jaya pada 8 Mei lalu.

Nik Nazmi, 31, sebagai penganjur program Penerangan Negeri Selangor itu didakwa gagal memaklumkan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya mengenai perhimpunan itu dalam tempoh yang ditetapkan iaitu 10 hari sebelum tarikh program.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia didakwa melakukan perbuatan itu di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya di sini, kira-kira pukul 8.30 malam, 8 Mei lalu.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 9(5) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 jika sabit kesalahan.

Nik Nazmi bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Terdahulu Timbalan Peguam Cara Negara II, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan mahkamah menetapkan sejumlah jaminan terhadap Nik Nazmi bagi menjamin kehadirannya.

Peguam Eric Paulsen yang mewakili Nik Nazmi bagaimanapun membantah dengan alasan anak guamnya yang merupakan orang kena saman (OKS) itu hadir sendiri ke mahkamah sejurus menerima notis.

''Saya memberi jaminan yang anak guam saya akan hadir pada setiap kali perbicaraan kerana status beliau sebagai seorang ADUN,'' katanya.

Paulsen juga memberitahu mahkamah, pihak pembelaan akan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi bagi mengetepikan pertuduhan itu atas alasan pendakwaan ke atas anak guamnya merupakan penyalahgunaan kuasa mahkamah dan bertentangan dengan dasar awam.

Hakim Rozina Ayob tidak memerintahkan sebarang jaminan terhadap Nik Nazmi dan menetapkan sebutan semula kes itu pada 4 Jun ini.

Sementara itu, galeri awam mahkamah dipenuhi penyokong PKR seawal pukul 9 pagi lagi. Yang turut kelihatan ialah Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar di pekarangan mahkamah. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment