Pas kaji fail petisyen kerusi majoriti bawah 1,000 undi
KANGAR, SABTU, 25 Mei, 013: Pas Perlis akan mengkaji untuk memfailkan petisyen terhadap keputusan PRU13 membabitkan beberapa Dun.
Timbalan Pesuruhjaya 1, Mohd Anuar Tahir berkata, pihaknya akan berbincang dengan jawatankuasa negeri esok untuk meneliti perkara itu.
Beliau berkata, petisyen itu akan dibuat kerana Pas yakin banyak penipuan berlaku semasa dan sebelum pilihan raya.
“Kita agak terperanjat dengan keputusan di sebelah petang hari mengundi apabila mencatatkan kekalahan demi kekalahan. Pada dasarnya, kita akan kaji dan buat petisyen di kerusi Dun yang kita kalah kecil misalnya majoriti bawah 1,000 undi.
“Cumanya kita belum tentu lagi kerusi Dun mana yang akan kita buat petisyen sebab ia melibatkan belanja yang banyak dan perlu ambil masa,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Beliau, yang juga calon Pas bagi kerusi Dun Santan berkata, pihaknya yakin boleh memenangi petisyen itu kerana mempunyai peguam yang berpengalaman di setiap kawasan Parlimen.
“Contohnya pada PRU12, kita memfailkan petisyen di Dun Sanglang kerana didakwa berlaku penipuan. Pada awalnya, keputusan itu memihak kepada calon BN dengan majoriti 149 undi.
“Bagaimanapun, hasil kecekapan peguam yang kita ada, akhirnya kerusi Dun Sanglang memihak kepada calon Pas yang juga Pesuruhjaya Pas Perlis, Hashim Jasin,” katanya.
Berdasarkan keputusan PRU13, antara kerusi Dun yang mungkin difailkan petisyen Pas Perlis ialah Beseri (majoriti 540 undi), Kayang (664 undi), Guar Sanji (927 undi) dan Simpang Empat (85 undi).
Bagaimanapun, kerusi Dun Santan yang mempunyai majoriti 1,084 undi juga mungkin difailkan kerana jurang perbezaan undi tidak terlalu ketara berdasarkan syarat untuk proses petisyen. - Sinar Harian
No comments:
Post a Comment