Pembekuan aset Genneva diketahui Selasa
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 17 Mei, 2013: Status sama ada para pelabur jongkong emas di syarikat Genneva Sdn. Bhd. (GSB), akan mendapat kembali pelaburan mereka bergantung kepada keputusan Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa ini berhubung pembekuan aset syarikat berkenaan.
Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff menetapkan 21 Mei ini bagi memutuskan sama ada membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menggantung keputusan beliau semalam dan permohonan untuk mengekalkan pembekuan aset syarikat tersebut oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Semalam, Rozana melepas dan membebaskan tiga pengarah GSB iaitu Ng Poh Weng, 63, Marcus Yee Yuen Seng, 61, Chin Wai Leong, 37, dan bekas pengarahnya, Liew Chee Wah, 59, daripada 224 pertuduhan pengubahan wang haram dan lima pertuduhan menerima deposit tanpa lesen melibatkan urus niaga bernilai lebih RM100 juta.
Pada prosiding yang ditetapkan untuk hujahan hari ini, pegawai pendakwa dari BNM, Alvin Ong memaklumkan, pihaknya telah memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut di Mahkamah Tinggi pagi ini.
Sementara Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mardziatun Nisa Ahamadul Kaber yang turut mengendalikan pendakwaan pula berhujah, permohonan penggantungan keputusan itu dibuat bagi menjaga kepentingan para pelabur.
Beliau menyatakan, berdasarkan keterangan dalam perbicaraan, wang yang diterima ke dalam akaun kesemua tertuduh adalah milik pelabur.
''Jika permohonan ini ditolak oleh mahkamah, tiada jaminan yang harta-harta berkenaan termasuk wang dan jongkong emas akan dikembalikan kepada semua pelabur.
''Sekiranya mahkamah menolak menggantung keputusan ini, rayuan pendakwaan akan menjadi akademik,'' katanya.
Sementara itu, peguam Mohamed Hanif Khatri Abdulla yang mewakili pihak responden menyatakan, mengikut Seksyen 56(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, pihak pendakwaan perlu memfailkan permohonan mendapatkan perintah untuk melucutkan harta tersebut di Mahkamah Tinggi.
Katanya lagi, pelucutan hak harta yang disita boleh diberikan hanya selepas mahkamah berpuas hati bahawa harta itu bukan milik tertuduh dan tiada orang lain yang berhak ke atas harta tersebut.
Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Poh Weng didakwa atas 93 pertuduhan, Yuen Seng menghadapi 40 pertuduhan sementara Wai Leong dituduh atas 61 pertuduhan dan Chee Wah pula 30 pertuduhan.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Public Bank Bhd., Cawangan Kuala Lumpur, Tingkat Bawah, Menara Public Bank, 146, Jalan Ampang di sini, antara Julai 2008 dan Jun 2009.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.
Kesemua tertuduh juga menghadapi lima pertuduhan menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen yang sah mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (Bafia).
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Kuchai Maju 6, Persimpangan Jalan Kuchai Lama di sini, antara November 2008 dan Julai 2009 dan pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 103(1)(a) Bafia. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment