Pengerusi DAP didesak henti ugut pihak tidak sealiran
KUALA LUMPUR, AHAD, 19 Mei, 2013: Pengerusi DAP, Karpal Singh didesak berhenti mengugut akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang tidak sealiran dengan parti itu.
Bekas Ketua Cawangan DAP Taman Sri Sungai Pelek, Tan Tuan Tat berkata, tindakan Karpal serta pemimpin DAP lain yang mahu menyaman pihak tertentu kerana mengkritik kepimpinan mereka adalah perbuatan tidak demokratik.
Menurut beliau, DAP perlu menerima hakikat parti itu juga banyak membuat kesilapan dan mempunyai pelbagai masalah dalaman sehingga ditegur pelbagai pihak.
"Pemimpin-pemimpin DAP juga sering menentang kerajaan, selalu tampil mengeluarkan kenyataan-kenyataan berbaur fitnah. Jika mereka boleh mengkritik orang lain, kenapa perlu melenting jika terkena kepada diri sendiri. Ini namanya kuku besi, bukan demokratik," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas amaran Karpal kepada bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim supaya berhenti mendedahkan segala cerita yang menjadi rahsia dalaman parti itu kepada umum.
Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata, beliau juga akan mengemukakan saman sekiranya Tunku Abdul Aziz tidak menghentikan perbuatan memburukkan DAP.
Menurut Tuan Tat, Karpal harus belajar menerima kritikan dan teguran untuk membuktikan parti itu sebenarnya mengamalkan semua perkara yang disebut dalam slogan serta dasar parti tersebut.
"Jangan cakap sahaja, dalam slogan semuanya hebat belaka. Adil, bersih, demokratik, sama rata dan sebagainya. Secara realitinya, semuanya retorik," katanya.
Dalam pada itu, Naib Pengerusi DAP Cawangan Ladang Paroi, A. David Dass mendesak Karpal menarik balik ugutan terhadap Tunku Abdul Aziz yang disifatkan beliau sebagai perbuatan melampau.
Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan DAP mempraktikkan kebebasan bersuara yang kononnya menjadi salah satu slogan penting parti itu selama ini.
"DAP 'angkuh' kerana mereka mempunyai ramai pengamal undang-undang dalam parti itu. Itu antara kekebalan mereka. Karpal perlu tarik balik kenyataan yang mungkin akan 'memakan' dirinya sendiri," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment