My Add

Monday, 20 May 2013

Polis Pulau Pinang bongkar makmal proses syabu, tahan empat orang

GEORGETOWN, ISNIN, 20 Mei, 2013: Polis Pulau Pinang menumpaskan satu sindiket memproses dadah dengan penahanan empat individu termasuk seorang wanita dalam serbuan di sebuah rumah di Batu Itam, Balik Pulau minggu lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi, berkata rumah yang dijadikan makmal memproses dadah jenis syabu itu terletak di dalam sebuah kebun dan diserbu sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang pada 11 malam Selasa lalu.

Dalam serbuan itu polis memberkas empat suspek berusia antara 26 dan 48 tahun iaitu tiga lelaki tempatan dan seorang wanita warga Indonesia, selain merampas 6.2 kilogram dadah jenis ecstacy, enam liter 'meth oil', 25 kg kafein dan 39 gram dadah jenis syabu serta bahan kimia dan peralatan memproses dadah.

"Anggaran harga pasaran dadah yang dirampas ialah RM1.2 juta," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Abdul Rahim berkata, polis turut menyita tiga kenderaan, dua buah motosikal serta wang dalam akaun yang kesemuanya bernilai RM186,000.

Katanya, polis percaya makmal dadah berkenaan beroperasi sejak empat bulan lalu dan menghasilkan dadah untuk pasaran Pulau Pinang serta utara Semenanjung.

“Tiga lelaki yang diberkas itu mempunyai rekod jenayah dan kesemua suspek direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya. 

Beliau turut meminta orang ramai menyalurkan maklumat kepada polis jika mengesan aktiviti mencurigakan atau bau tertentu yang menimbulkan kecurigaan di kawasan perumahan mereka. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment