My Add

Tuesday, 28 May 2013

PRU-13: SPR serah kepada polis untuk siasat

PUTRAJAYA, ISNIN, 27 Mei, 2013: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat kesemua tuduhan yang dilemparkan oleh pihak pembangkang kerana meragui ketelusan suruhanjaya tersebut sepanjang proses Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, langkah itu selaras dengan tindakan SPR sebelum ini yang telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya pada 16 Mei lalu berhubung perkara tersebut.

''Saya dimaklumkan bahawa pihak polis sedang menyiasat dengan teliti setiap tuduhan tidak berasas dan fitnah yang dilemparkan itu sebelum mengambil tindakan sewajarnya.

''Lagipun, SPR tidak mempunyai keupayaan dan kepakaran untuk melaksanakan tugas tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) di sini hari ini.

Tambah beliau lagi, SPR mendapat kerjasama penuh daripada pihak polis bagi menyiasat segala tuduhan itu.

Sebelum ini, pakatan pembangkang mempertikaikan keputusan PRU-13 yang didakwa tidak telus dengan melemparkan pelbagai tuduhan kepada SPR.

Antara tuduhan itu adalah isu dakwat kekal, pengundi hantu, lampu padam semasa pengiraan undi, peti undi dilarikan, boleh mengundi dua kali dan seramai 24 petugas SPR di Besut, Terengganu telah dikurung bagi memangkah kertas undi.

Bagaimanapun, para pemerhati luar yang terdiri daripada dalam dan luar negara mengakui PRU-13 dijalankan dengan prinsip ketelusan dan semangat demokrasi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment