My Add

Sunday, 19 May 2013

Raja Muda Perlis mahu rakyat celik media

KANGAR, SABTU, 18 Mei, 2013: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu rakyat 'celik media' supaya mereka berupaya membuat penilaian terhadap sesuatu perkara atau isu yang dibangkitkan.

Baginda bertitah, masyarakat perlu menguasai teknologi terkini yang memudahkan lagi penerimaan maklumat dan berita yang merentasi faktor geografi, ruang waktu, bahasa, budaya mahupun agama.

"Kewartawanan menuntut sifat amanah, berdisiplin dan beradab. Saya pasti tiada siapa boleh menafikan peranan wartawan dan media massa dalam pembangunan dan pemodenan sesebuah negara," titah baginda semasa merasmikan seminar Kewartawanan Keamanan IMT-GT di kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau hari ini.

Seminar sehari itu diadakan sempena sambutan ulang tahun keputeraan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang ke-70, yang dianjurkan bersama UiTM Perlis dan Kelab Media Perlis (KEMPs) dengan disertai wartawan Perlis, Thailand dan Indonesia di samping pelajar UiTM Perlis dan Shah Alam serta Universiti Utara Malaysia (UUM).

Baginda bertitah laporan berita yang semakin pantas adalah cabaran kepada pengamal media dalam mengukuhkan etika kewartawanan apatah lagi dalam keadaan lanskap politik terkini dan asas hubungan antarabangsa yang boleh dieksploitasi ke arah tidak sihat dan membimbangkan.

Raja Muda bertitah penulisan mampu mengubah pemikiran masyarakat malah kekuatan pada ketajaman penulisan boleh menjatuhkan, membangunkan atau memporak-perandakan sesebuah negara.

"Mutakhir ini, kuasa pena sudah bertukar menjadi gabungan kuasa jari jemari dan jalur lebar yang luar biasa pantasnya dan nilai berita turut diukur daripada kepantasannya," titah baginda.

Titah baginda, kalau dahulu berita dianggap masih baru jika ia dilaporkan dalam tempoh 24 jam, namun pada masa ini, jika berita dilaporan dalam tempoh dua atau tiga jam selepas peristiwa, ia sudah agak ketinggalan.

"Walaupun kepantasan menjadi kayu ukur penting namun nasihat saya, ia perlulah didasari oleh nilai kebenaran dan realisasi menyeluruh atau ketepatannya," titah Tuanku Syed Faizuddin.

Baginda mencadangkan inisiatif latihan dan pertemuan sama ada di peringkat domestik dan antarabangsa perlu dilaksanakan lebih kerap sama ada bagi tempoh jangka pendek dan jangka panjang untuk memperkasakan dunia kewartawanan.

Sementara itu, pada forum yang dikendalikan Rektor UiTM Perlis, Prof Datuk Dr Ahmad Redzuan Abdul Rahman sempena seminar itu, wartawan dari tiga negara turut mengemukakan pelbagai pandangan bagi mempromosikan kawasan pertumbuhan segi tiga Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMT-GT) yang merupakan sebuah gagasan yang diwujudkan pada 1993.

Turut hadir pada seminar itu ialah Pengarah Tourism Malaysia di Medan, Indonesia, Nor Asikin Haron. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment