My Add

Sunday 19 May 2013

RHB Bank bantu 10 badan kebajikan


* MOHAMAD Khadar Merican (tengah) bersama Pengerusi RHB Investment Bank, Tan Sri Ong Leong Huat (kiri) dan Pengerusi RHB Islamic Bank, Khairuddin Ahmad (kanan) bersama wakil-wakil rumah kebajikan selepas majlis penyerahan replika cek pada majlis Centennial Charity Golf Classic 2013 di Putrajaya, semalam.
PUTRAJAYA, SABTU, 18 Mei, 2013: Kumpulan Perbankan RHB (RHB) menyalurkan derma lebih RM240,000 kepada 10 badan kebajikan terpilih seluruh negara sempena pertandingan RHB Centennial Charity Golf Classic 2013 di Putrajaya, hari ini.

Pengerusi RHB Capital Berhad, Datuk Mohamed Khadar Merican berkata, derma itu hasil sumbangan daripada pembayaran yuran pertandingan oleh lebih 100 peserta yang terdiri daripada wakil pelbagai organisasi korporat, termasuk Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan tertinggi kumpulan.

"Dalam usaha mencapai kemajuan, kita tidak boleh lupa perkara yang amat penting dalam kehidupan ini iaitu soal kemanusiaan. Kita tidak boleh berjaya jika lupa kepada mereka yang memerlukan bantuan dalam kehidupannya.

"Kita perlu berusaha melakukan yang sebaik mungkin untuk membantu golongan itu mencapai matlamat dan impian mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penyampaian hadiah pertandingan tersebut.

Pertandingan amal itu diadakan sempena sambutan ulangan ke-100 BHB serta penghargaan kepada pelanggan korporat berikutan sokongan mereka sepanjang tahun.

Badan kebajikan itu adalah Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ash-Shakur (Pekeas), Pusat Jagaan Kaseh Bestari, Pusat Kebajikan Karunai Illam (perempuan) Kepong, Rumah Kebajikan Anbu Illam (lelaki) Ulu Klang dan Persatuan Kebajikan Rumah Perlindungan Teratak Nur Insan (Kuala Lumpur & Selangor).

Turut menerima sumbangan, Persatuan Individu Kurang Upaya, Pertubuhan Rumah Anak Yatim Kampung Che Berma (Sungai Petani), Yayasan Amanah An-Nur Maisarah, Rumah Budak Laki-laki Tun Abdul Aziz (Melaka), Persatuan Ibu Tunggal Sarawak dan Pusat Kebajikan Good Sherpherd. - UTUSAN

1 comment:

  1. boleh saya dptkan email dari badan kebajikan rhb bank?

    ReplyDelete