Taman Teknologi Kulim perlu transformasi: ECXO
BANDAR BAHARU, AHAD, 19 Mei, 2013: Kawasan Perindustrian Berteknologi Tinggi Kulim (KHTP) perlu ditransformasi bagi mengembalikan daya tarikannya sebagai destinasi pelabur.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi, dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi Kedah, Datin Norsabrina Mohd Noor berkata, kedudukan KHTP yang dulunya berprestij dalam kalangan pelabur luar kini semakin malap dan memerlukan sinergi baru untuk mengendalikannya.
"Kedudukannya kini tidak sama gah seperti dulu dan kedudukan ini perlukan transformasi baru dengan tenaga pakar yang lebih kemas," katanya kepada BERNAMA selepas merasmikan Temasya Sukan Didik 2013 Tabika Perpaduan daerah Kulim/Bandar Baharu dekat sini, hari ini.
Katanya, selaku Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang bertanggungjawab atas pembangunan KHTP, beliau akan menemui pengusaha di KHTP bagi mengenal pasti usaha meningkatkan prestasi kawasan perindustrian itu.
Norsabrina berkata, beliau juga percaya prestasi KHTP dapat dipertingkatkan menerusi bimbingan Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir yang berpengalaman dan lebih arif dalam bidang industri di peringkat global. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment