My Add

Tuesday, 21 May 2013

Terima, hormati keputusan PRU-13

Oleh ZAAIN ZIN
KUCHING, ISNIN, 20 Mei, 2013: Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) kerana memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) serta memuji kelancaran proses demokrasi di negeri ini.

Beliau juga berharap semua pihak dapat menerima dan menghormati keputusan tersebut serta bekerjasama dan berganding bahu meneruskan agenda pembangunan di seluruh negeri.

Menurutnya, Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga diharap dapat meneruskan kecemerlangan mentadbir negara melalui agenda transformasi.

Katanya, hubungan erat yang terjalin antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan yang dizahirkan menerusi perhatian istimewa Najib serta Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap Sarawak, diyakini dapat merancakkan proses pembangunan di negeri ini.

“Walaupun suasana pertumbuhan ekonomi dunia terutama di negara-negara maju perlahan, saya berpuas hati dengan tahap pembangunan ekonomi Sarawak yang semakin rancak dan percaya kekuatan ekonomi negeri ini adalah kerana komitmen serta dasar kerajaan yang mesra pembangunan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam upacara pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-17 di sini hari ini.

Sementara itu, Abang Muhammad Salahuddin menggesa kerajaan menjadikan insiden pencerobohan pengganas di bahagian timur laut Sabah pada Februari lalu sebagai iktibar untuk meningkatkan tahap keselamatan di seluruh negeri ini.

Jelasnya, antara lokasi yang perlu diberi tumpuan utama ialah setiap kawasan strategik seperti pintu masuk di sempadan, zon eksklusif ekonomi serta pusat pentadbiran.

“Malaysia mempunyai sempadan yang panjang dan terdedah pada pencerobohan pihak asing dan keadaan ini merupakan satu cabaran besar untuk kita mempertahankan keselamatan negara.

“Baru-baru ini sempadan negara di bahagian timur laut Sabah, iaitu Lahad Datu telah diceroboh kumpulan pengganas namun pasukan keselamatan berjaya mempertahankan kedaulatan negara,’’ katanya.

Beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga anggota yang terkorban semasa bertugas.

Mengulas lanjut, Abang Muhammad Sallahuddin menasihatkan rakyat supaya tidak bertindak di luar batasan, sentiasa menghormati undang-undang serta tidak mudah terpedaya dengan sebarang usaha yang boleh menggugat keharmonian negeri ini

Dalam masa sama, beliau menyuarakan kebimbangan mengenai isu sosial seperti pembuangan bayi, perceraian dan penyalahgunaan dadah yang disifatkan perlu ditangani dengan bijak menerusi pendekatan yang praktikal dan berkesan.

Beliau turut menyentuh mengenai keperluan mewujudkan persekitaran yang bersih, sihat dan sistematik di bandar-bandar tanpa mengabaikan agenda pembangunan dan transformasi di kawasan luar bandar demi kesejahteraan rakyat di dua kawasan berkenaan.

“Syabas kepada kerajaan kerana berjaya menurunkan kadar kemiskinan di negeri ini dengan penurunan kadar kemiskinan daripada 5.3 peratus pada 2009 kepada 2.4 peratus pada tahun lalu, sekali gus menunjukkan program pembasmian kemiskinan berjaya meningkatkan taraf hidup rakyat," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment