My Add

Sunday, 19 May 2013

Wahid yakin keupayaan bakal CEO baru Maybank

 Abdul Wahid
NUSAJAYA, SABTU, 18 Mei, 2013: Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar yakin penggantinya mampu melaksanakan tugas dengan baik serta dapat membawa misi yang dirancang syarikat perbankan terbesar negara itu.

Beliau berkata, individu yang bakal dipilih adalah diputuskan Ahli Lembaga Pengarah Maybank, namun tidak menyatakan bila akan dilakukan.

"Ahli Lembaga Pengarah akan pilih calon yang terbaik untuk ambil alih. Kita telah mempunyai rencana dan misi yang begitu terperinci dan saya yakin sesiapa yang dipilih nanti akan dapat meneruskan tugas dengan baik," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan replika Menara Maybank dan meraikan kanak-kanak istimewa di sebuah taman tema di sini hari ini.

Ditanya sama ada terdapat nama yang disenarai pendek untuk menggantikannya, beliau enggan mengulas.

Abdul Wahid yang menerajui Maybank sejak 1 Mei 2008 dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan bertanggungjawab terhadap Unit Perancangan Ekonomi.

Anak kelahiran Johor Bahru ini dijadual mengangkat sumpah sebagai Senator pada 5 Jun ini, sehari selepas mengakhiri tugas di Maybank.

Dalam pada itu, beliau mengakui tugas baharu itu sebagai amat mencabar, namun berjanji akan menggunakan pengalamannya dalam syarikat swasta selama ini untuk melaksanakannya.

Menurutnya, cabaran dan tanggungjawab di syarikat swasta dan kerajaan adalah berbeza serta tugas baharu itu sememangnya dilihat sebagai tanggungjawab besar kerana pelanggannya adalah rakyat keseluruhan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment