My Add

Tuesday, 21 May 2013

Yakin Exco baharu Pahang mampu laksana tugas

Oleh SHAHRINNAHAR LATIB dan MOHAMMAD SHOFI MAT ISA

KUANTAN, ISNIN, 20 Mei, 2013: Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob yakin barisan Exco kerajaan negeri yang baharu diumumkan portfolio masing-masing hari ini mampu melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada mereka dengan baik.

Beliau berkata, walaupun separuh daripada Exco yang dilantik adalah muka baharu tetapi dengan pengalaman yang mereka ada mampu membawa perubahan dan pembangunan kepada negeri ini.

"Mereka memang pakar dalam bidang bidang masing-masing seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Datuk Abu Bakar Harun yang memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda memang berpengalaman berpuluh tahun di kawasan tanah rancangan Felda.

"Saya percaya dengan melantik beliau memegang portfolio tersebut mampu menyelesaikan masalah di Felda seperti perumahan generasi kedua dan pekerjaan di tanah rancangan," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Exco kali pertama di Yayasan Pahang di sini hari ini.

Menurutnya, Jawatankuasa Khas Perpaduan yang dibentuk baru-baru ini dipengerusikan sendiri oleh beliau dan akan dianggotai oleh ahli jawatankuasa yang akan dilantik kemudian.

"Saya ingin tekankan jawatankuasa ini bukan untuk satu-satu kaum sahaja tetapi perpaduan semua kaum," katanya.

Sementara itu katanya, walaupun terdapat pertambahan bilangan pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, keadaan itu langsung tidak memberi kesan pada kerajaan negeri.

"Kita serupa sahaja seperti sebelum ini kerana kita mahu menjalankan tugas untuk mentadbir negeri ini dengan baik.

"Memang tidak mempunyai kesan langsung daripada perkara tersebut. Kalau boleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang ada di dalam Sidang DUN Pahang pun bagus," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment