My Add

Saturday, 29 June 2013

13 SJKT terima peruntukan segera naik taraf prasarana sekolah

PETALING JAYA, JUMAAT, 28 Jun, 2013: Sebanyak 13 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) terpilih untuk menerima peruntukan segera berjumlah RM20 juta untuk menaik taraf prasarana sekolah.

Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan, berkata peruntukan di bawah Pelan Tindakan Masa Depan Sekolah-Sekolah Tamil itu akan membabitkan kos antara RM50,000 hingga RM4.5 juta bagi setiap sekolah.

"Peruntukan ini bagi membina bilik darjah, pagar sekolah, kantin, menaik taraf bilik persalinan pakaian, menyelenggara padang, sistem keselamatan, perpustakaan dan sebagainya mengikut keperluan semasa sekolah terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Peruntukan Khas Kepada SJKT Berstatus Sekolah Kerajaan di sini hari ini.

Turut hadir penyelaras pelan tersebut Profesor Dr N.S. Rajendran dan wakil daripada 13 sekolah berkenaan.

Sekolah yang menerima peruntukan itu ialah SJKT Lorong Jawa di Negeri Sembilan; SJKT Mengelembu, SJKT Kerajaan, SJKT Gunung Rapat di Perak; SJKT Persiaran Raja Muda Musa, SJKT Ampang, SJKT Dengkil di Selangor dan SJKT Masai di Johor.

Selain itu, SJKT Mentakab di Pahang; SJKT Barathy di Kedah; SJKT Durian Tunggal di Melaka; SJKT Permatang Tinggi di Pulau Pinang dan SJKT Cheras di Kuala Lumpur. 

Kamalanathan berkata langkah itu adalah fasa pertama sebelum diteruskan kepada fasa kedua mengikut keperluan semasa yang bertujuan menjamin sistem persekolahan yang lebih optimum untuk pelajar, guru dan pihak pengurusan sekolah.

Katanya sehingga kini, kerajaan telah memperuntukkan RM540 juta untuk menaik taraf kemudahan infrastruktur di 523 SJKT di seluruh negara.

Berhubung kuota kemasukan pelajar India lepasan SPM ke matrikulasi, beliau berkata kementerian akan menambah bilangan tempat dari semasa ke semasa berikutan peningkatan prestasi mereka dalam bidang akademik.

"Pada asalnya, kementerian menyediakan 1,500 tempat untuk pelajar India di pusat matrikulasi, tetapi disebabkan permohonan semakin meningkat, kementerian telah menambah 350 tempat lagi menjadikan jumlah kuota sebanyak 1,850," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment