KUCHING, JUMAAT, 28 Jun, 2013: Sarawak Energy Bhd (SEB) menubuhkan pasukan untuk menyiasat punca kejadian gangguan bekalan elektrik selama enam jam malam tadi di bahagian besar kawasan di negeri ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif SEB, Torstein Dale Sjøtveit hari ini.
Beliau berkata, siasatan akan dijalankan untuk membolehkan SEB mempelajari secara maksimum daripada "kejadian amat serius ini".
"Sejurus sebelum kejadian, sistem mempunyai muatan dan bekalan sebanyak 1555 megawatts (MW). Dalam kejadian ini, loji hidro-elektrik Bakun, pada ketika itu mempunyai muatan 884 MW, kadarnya menurun (bekalan) kepada 456 MW dalam 10 saat, mengakibatkan penurunan frekuensi secara serius kepada bawah 47.5hz dalam sistem itu. Frekuensi normal pengoperasian di Sarawak adalah 50hz.
"Kami kehilangan 456 MW daripada loji hidro elektrik Bakun. Apabila ini berlaku, terjadi penurunan frekuensi dalam sistem kerana permintaan lebih tinggi daripada bekalan," katanya pada sidang media di sini.
Sjøtveit berkata, untuk melindungi keutuhan semua generator dalam sistem, sistem keselamatan diaktifkan secara automatik menyebabkan sistem terpelantik dan mengakibatkan semua stesen pencawang elektrik dalam grid tidak berfungsi, dikenali sebagai 'No Recovery Situation'.
"Dalam masa 10 minit, kami melaksanakan 'Pelan Pemulihan Gangguan Bekalan' untuk mengaktifkan semua loji supaya berfungsi semula dengan hasilnya seperti berikut: empangan kuasa hidro elektrik Batang Ai (HEP) pada 5.53 petang, Stesen Janakuasa Tun Abdul Rahman pada 5.56 petang, Stesen Janakuasa Bintulu pada 6.21 petang dan Miri pada 7.45 malam.
"Bakun hanya dapat diselaraskan kepada grid selepas 10 malam...menyebabkan kelewatan bekalan elektrik dipulihkan di Sibu," katanya.
Beliau berkata, grid negeri diselaraskan menjelang 11.30 malam dan bekalan elektrik pulih sepenuhnya pada 2.07 pagi.
Mengulas penafian operator Empangan Bakun bahawa mereka tidak bertanggungjawab kepada gangguan bekalan elektrik itu, Sjøtveit berkata, operator Bakun mungkin tidak mendapat gambaran jelas mengenai situasi itu kerana masih terlalu awal pada ketika itu.
Akhbar melaporkan ketua jurutera Empangan Bakun Zulkifle Osman berkata, empangan itu bukan menjadi punca kepada gangguan bekalan elektrik itu kerana tidak terdapat kerosakan teknikal besar sebelum bekalan elektrik terputus. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment