My Add

Saturday, 1 June 2013

Usaha selamat mangsa sukar

 *BEBERAPA pasukan keselamatan berusaha mengapungkan bot di Sungai Rajang, Belaga, Sarawak, semalam.
BELAGA, JUMAAT, 31 Mei, 2013: Operasi mencari mangsa tragedi bot ekspres karam di Sungai Rajang dekat sini yang masuk hari keempat dihentikan buat sementara waktu berikutan masalah teknikal serta logistik.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Bakar Sebau berkata, pihaknya terpaksa mendapatkan sebuah kren memandangkan rancangan mengapungkan bangkai bot hari ini gagal selepas tiga kali percubaan.

Bagaimanapun, kata beliau, usaha untuk mendapatkan kren berkenaan dijangka mengambil masa kerana semua pengusaha bercuti panjang sempena Hari Gawai yang akan disambut esok.

"Operasi mencari mangsa hanya dapat diteruskan selepas kita berjaya mengapungkan bangkai bot ke paras yang sesuai iaitu sekurang-kurangnya nampak pintu bot.

"Untuk itu, kita tunggu kren sampai terlebih dahulu. Jadi tiada pilihan lain selain menangguhkan operasi ini sehingga pada masa yang akan diberitahu semula," katanya kepada pemberita hari ini.

Mengulas lanjut, Bakar memberitahu, antara faktor lain yang mengganggu kelancaran operasi ialah arus sungai terlalu deras selain masalah zero visibility yang dihadapi pasukan penyelam.

"Lebih malang lagi apabila salah satu enjin tongkang mengalami masalah terlebih panas menyebabkan usaha menarik bangkai bot tidak dapat diteruskan," katanya.

Pasukan penyelamat pada mulanya merancang untuk menarik dan mengapungkan bangkai bot berkenaan menggunakan sebuah tongkang berkuasa tinggi.

Pada pukul 9.40 pagi, bot itu berjaya diapungkan ke permukaan buat seketika sebelum usaha menariknya diteruskan kira-kira sejam kemudian namun gagal kerana kabel terlepas daripada ikatan.

Seterusnya, mereka meminta bantuan sekumpulan pakar kimpalan dari Kapit untuk menebuk lubang pada bot namun kabel penahan tiba-tiba terputus menyebabkan keadaan menjadi lebih buruk kerana bangkai tersebut tenggelam lebih dalam.

Mengulas perkembangan terkini jumlah mangsa, Bakar memberitahu, seorang lagi penumpang yang sebelum ini disenaraikan hilang disahkan selamat selepas dia tampil membuat laporan di Balai Polis Kapit malam tadi.

Katanya, setakat pukul 6 petang ini sebanyak 200 penumpang disahkan selamat manakala empat lagi iaitu Maurice Ajan, Simon Patrick, Roslin Jati dan seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai Paulus dikhuatiri hilang. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment