Geng curi jentera berat tumpas, empat ditangkap
Oleh AZRAI MOHAMMAD
KUALA LUMPUR, SELASA, 24 September, 2013: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan satu sindiket curi jentera berat dengan tertangkapnya empat individu dalam dua serbuan Op Cantas Khas di ibu negara pada 18 September dan Sabtu lalu.
Dalam serbuan itu, sepasukan anggota dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras turut merampas dua buah jengkaut, sebuah jentera penggelek jalan dan lori yang dianggarkan bernilai RM700,000.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, sindiket yang aktif sejak enam bulan lalu itu dipercayai mencuri jentera berat berkenaan di tapak pembinaan sebelum membawanya ke kawasan tersorok untuk dijual.
Katanya, tangkapan pertama yang melibatkan dua lelaki dilakukan di sebuah tempat letak kenderaan di Flat Sungai Besi di sini pada pukul 2.40 petang 18 September lalu.
"Susulan tangkapan itu polis melakukan satu lagi serbuan di Serdang dan Seri Kembangan, Selangor pada Sabtu lalu dan menahan dua lelaki iaitu rakan suspek pertama," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras hari ini. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment