My Add

Monday, 23 September 2013

Inovasi: Khazanah Nasional terima anugerah global

SAN FRANCISCO, ISNIN, 23 September, 2013: Khazanah Nasional Berhad, dana pelaburan strategik kerajaan Malaysia,menerima anugerah global bagi kepimpinan inovasi berwawasan daripada Frost & Sullivan, firma perunding perniagaan global, atas usaha perintis yang dilakukan Khazanah sebagai pemangkin dan penggerak ekonomi di Malaysia.

Anugerah berprestij itu mengiktiraf peranan kepimpinan Khazanah mentransformasikan Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLCs), mengembangkan jenama Malayia di peringkat serantau dan global, dan pendekatan berwawasan bagi pembangunan ekonomi melalui Iskandar Malaysia.

Anugerah itu disampaikan Pengerusi Frost & Sullivan, David Frigstad kepada Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar dan disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pada majlis perasmian pejabat Khazanah Americas Incorporated di San Francisco pada Ahad.

Turut hadir isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Ewon Ebin; Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; dan pengarah Pejabat Datuk Bandar bagi Perniagaan dan Perdagangan San Francisco, Mark Chandler.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Frigstad berkata ini, merupakan kali pertama firma itu menyampaikan anugerah seumpama itu.

Firma yang berpangkalan di Mountain View, California, telah membuat kajian dua tahun sebelum memutuskan memberikan anugerah itu kepada Khazanah, katanya.

Beliau berkata, firma itu telah membuat perbandingan antara Khazanah dan GLC yang sama di seluruh dunia dan mereka begitu kagum dengan amalan terbaik Khazanah dari segi memenuhi keperluan pihak-pihak berkepentingan, rakyat dan pelabur.

"Kami berharap anugerah ini akan memberi inspirasi kepada kerajaan-kerajaan lain untuk meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan," katanya sebagai rujukan jelas kepada dasar "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" yang dilaksanakan kerajaan Malaysia.

Frigstad juga yakin Khazanah akan melahirkan lebih banyak idea besar berdasarkan apa yang akan dipelajari mereka daripada syarikat-syarikat berinovasi di dalam Silicon Valley di sini.

Khazanah, yang diamanahkan untuk memegang dan menguruskan aset komersial kerajaan dan menjalankan pelaburan strategik, terbabit dalam pelbagai sektor seperti tenaga, telekomunikasi, perbankan, penjagaan kesihatan, pengurusan lapangan terbang, infrastruktur, riadah dan pelancongan, pembangunan hartanah, penyiaran, pegangan pelaburan dan teknologi.

Setakat 29 Mei tahun ini, pelaburan seberang laut Khazanah mewakili kira-kira sembilan peratus daripada jumlah portfolio pelaburan sebanyak RM135.9 bilion.

Secara jelas, peratusan itu lebih besar dan mewakili kira-kira 35 peratus portfolio pelaburan Khazanah.

Najib yang berada di San Francisco dan New York untuk lawatan kerja mulai 22 hingga 29 Sept, akan mempengerusikan mesyuarat ketiga Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC) di sini pada 23 Sept.

Beliau juga akan mempengerusikan mesyuarat Panel Penasihat BIO-Antarabangsa (BIO-IAP) ke-7 dan melawat Silicon Valley, yang termasuk mengunjungi ibu pejabat Twitter dan Google. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment