My Add

Sunday, 1 September 2013

Nelayan sokong kerajaan hapus peranan orang tengah

PASIR PUTEH, AHAD, 01 September, 2013: Persatuan Nelayan Semerak di sini, menyokong cadangan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk menghapuskan peranan orang tengah dalam sektor pertanian khususnya perikanan.

Pengerusi persatuan itu, Datuk Mohd Jelani Jaafar berharap cadangan itu dapat dilaksanakan segera kerana orang tengah sudah lama mendapat keuntungan lumayan hasil titik peluh mereka.

"Orang tengah mendapat keuntungan lumayan dalam pasaran ikan tempatan contohnya harga ikan kembung dijual antara RM11 dan RM12 sekilogram sedangkan harga di Pelabuhan Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Tok Bali di sini dibeli dengan harga antara RM7 dan RM8 sekilogram," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Jelani mengulas kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini bahawa kementerian menyasarkan untuk menghapuskan peranan orang tengah dalam sektor pertanian di seluruh negara mulai tahun depan, bagi membantu petani, peladang, penternak dan nelayan mendapat keuntungan yang lebih baik.

Mohd Jelani berkata jika pihak kerajaan dapat memasarkan sendiri hasil tangkapan nelayan melalui pasar nelayan, pengguna akan mendapat harga yang lebih rendah manakala nelayan akan mendapat keuntungan lebih baik. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment