My Add

Sunday, 1 September 2013

Polis tahan 311 individu

Oleh AZRAI MOHAMMAD dan ISWAN SHAFIQ MAT ISA

 *SEBAHAGIAN lelaki yang ditahan untuk diperiksa dalam Op Cantas di sebuah pusat hiburan di Kuala Terengganu, malam semalam.
KUALA LUMPUR , SABTU,31 Ogos, 2013; Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan sebanyak 311 daripada 7,719 individu yang diperiksa dalam Op Cantas Khas di seluruh negara semalam dan hari ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, dalam operasi selama 12 jam bermula pukul 6 petang semalam, polis turut merampas enam buah kenderaan curi iaitu empat buah kereta dan dua buah motosikal.

"Selain itu, polis turut merampas beberapa jenis senjata yang ditemukan bersama suspek.

"Antaranya adalah selaras senapang angin buatan sendiri dan 25 jenis senjata berjadual seperti pedang, pisau dan parang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Op Cantas Khas dilancarkan sejak 17 Ogos lalu untuk membendung aktiviti jenayah yang mengancam keselamatan negara selaras dengan arahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Pelaksanaan operasi itu bagi membendung kegiatan jenayah khususnya berkaitan aktiviti kongsi gelap serta jenayah menggunakan elemen senjata api dan senjata tajam menerusi sekatan jalan raya, pemeriksaan lokasi tertentu dan serbuan.

Sementara itu di KUALA TERENGGANU, polis menahan sebanyak 89 pengunjung termasuk 10 wanita dalam Op Cantas Khas sempena sambutan Ambang Merdeka di dua pusat hiburan di bandar itu.

Kesemua mereka yang berusia antara lingkungan 20-an hingga 60 tahun diarahkan menjalani ujian saringan air kencing bagi mengesan sama ada terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa berkata, polis turut menyemak identiti kesemua mereka itu bagi mengesan sama ada terlibat dalam kegiatan jenayah termasuk menjadi ahli kumpulan kongsi gelap.

"Sekiranya dikesan terlibat, kita akan ambil tindakan yang sewajarnya. Operasi ini akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai langkah pencegahan terutamanya bagi mengelak penularan gejala negatif termasuk kongsi gelap di negeri ini," katanya selepas mengetuai operasi tersebut yang melibatkan 30 anggota pelbagai cawangan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Terengganu dan berakhir awal pagi ini. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment