My Add

Tuesday, 24 September 2013

Tahaluf siyasi: Harun terharu sokongan akar umbi

KUALA TERENGGANU, ISNIN, 23 September, 2013: Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib terharu dengan reaksi kalangan ahli parti itu yang menyokong cadangan beliau supaya tahaluf siyasi dalam pakatan pembangkang dikaji semula.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada mereka yang menyokong saranannya itu demi kebaikan Pas ketika terdapat banyak kecaman dilempar terhadapnya.

Dalam masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan para perwakilan akan membawa usul mengenai cadangannya itu dalam Muktamar Pas yang dijadual November ini jika keadaan memerlukan.

“Kita tengoklah nanti, bergantung kepada keadaan dan sekiranya keadaan memerlukan, usul mengenainya akan dibawa perwakilan dalam Muktamar Pas nanti," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Harun mengulas reaksi ahli Pas yang mengharapkan para pemimpin parti itu menyokong saranan beliau supaya mengkaji semula tahaluf siyasi dalam pakatan pembangkang demi kebaikan serta kelangsungan parti tersebut.

Harun dalam ucap utama ketika Multaqa Ulama Pas Se-Malaysia di Kedah baru-baru ini mencadangkan jawatankuasa khas ditubuh segera bagi mengkaji kemerosotan sokongan pengundi Melayu terhadap parti itu serta menilai kembali tahaluf siyasi dalam pakatan pembangkang.

Bagaimanapun, saranan Harun ditolak Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menegaskan, parti itu akan tetap bersama sekutunya sambil menyifatkannya sebagai satu pakatan yang kukuh dan baik untuk diteruskan.

Sebelum ini, beberapa ahli Pas termasuk ahli Pas cawangan Taman Kucai di Kulim, Kedah, Mohd. Safuan Sulaiman meluahkan kekecewaannya kerana perkara sebaliknya berlaku selepas nasihat serta saranan Harun yang dibuat demi kebaikan parti itu seolah-oleh tidak diendahkan pemimpin-pemimpin Pas.

Sementara itu, Harun sekali lagi menegaskan cadangan supaya tahaluf siyasi dalam pakatan pembangkang itu dikaji semula bertujuan mengukuh dan memperkasa hubungan serta kerjasama antara tiga parti dalam pakatan tersebut.

“Seperti yang saya tegaskan sebelum ini, tujuan saya supaya tahaluf siyasi dikaji semula bukan bermakna Pas akan keluar daripada pakatan (pembangkang).

“Jangan salah tafsir kenyataan saya, apa yang saya maksudkan adalah untuk memperkasa kerjasama antara Pas dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dalam pakatan," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment