My Add

Monday, 23 September 2013

Usaha bawa abu terus dikecam

KUALA LUMPUR, AHAD, 22 September, 2013: Usaha pihak-pihak tertentu untuk membawa pulang abu mayat bekas pemimpin pengganas komunis, Chin Peng ke negara ini terus mendapat kecaman orang ramai.

Antara bantahan itu melibatkan kira-kira 150 orang daripada 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengadakan perhimpunan aman di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh dekat sini hari ini.

Pertubuhan itu antaranya Persatuan Veteran Tentera, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Parlimen Subang, Belia 4B Kampung Melayu dan Subang, Persatuan Kebajikan dan Dakwah Sejagat Malaysia (Sejagat) kemudian membuat 15 laporan polis bagi menyokong usaha kerajaan menghalang perkara itu daripada berlaku.

Wakil JKKKP Parlimen Subang, Abdul Hafiz Mohammad Asari berkata, semua NGO terlibat menggesa polis agar mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang cuba melakukan hasutan di internet mengenai tindakan itu.

"Jika perkara ini berlaku, dikhuatiri mereka akan menjadikan abu tersebut sebagai tugu peringatan dalam cubaan menghidupkan kembali fahaman komunis," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan tersebut.

Menurut Abdul Hafiz, langkah itu juga akan mengguris hati dan perasaan bekas perajurit serta ahli keluarga yang terkorban akibat kekejaman Chin Peng.

Pengerusi JKKKP Kampung Melayu Sungai Buloh, Sahar Mohd. Zain pula berkata, Chin Peng hanya perlu dikenang sebagai pengkhianat negara kerana telah banyak melakukan kezaliman terhadap rakyat negara ini.

"Cukuplah peristiwa hitam keganasan komunis berlaku sekali sahaja di negara ini, minta dijauhkan peristiwa tersebut daripada berulang.

"Maka jangan ada pula pihak hendak cuba kenang dan bawa pulang abu Chin Peng ke negara ini," tegasnya.

Wakil Persatuan Veteran Tentera, Sahari Abdul Hamid berkata, anak-anak muda perlu tahu sejarah kekejaman yang dilakukan oleh Chin Peng bersama komunis supaya mereka tidak salah anggap pengganas-pengganas terbabit sebagai wira negara.

"Sebagai bekas tentera, kami sesekali tidak akan menerima Chin Peng sebagai wira dan abunya dibawa pulang. Tutup sahaja kisah Chin Peng jangan dikenang-kenang lagi," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment