My Add

Friday 9 March 2012

Bekas pemimpin SPDP hadapi halangan tubuh parti baru

KUCHING: Lima wakil rakyat yang kini tidak lagi menjadi ahli Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) akan menghadapi halangan besar jika mereka menubuhkan parti baru, kata Ketua Menteri, yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini.

Beliau berkata, sebaliknya, adalah lebih baik jika lima wakil rakyat
berkenaan Ahli Parlimen Mas Gading, Datuk Dr Tiki Lafe dan Ahli Dewan Undangan Negeri, Datuk Peter Nansian (Tasik Biru), Datuk Sylvester Entri (Marudi), Rosey Yunus (Bekenu) dan Paulus Gumbang (Batu Danau); diberi masauntuk berdamai semula dengan SPDP.

"Saya tidak fikir langkah itu (menubuhkan parti baru) suatu idea yang baik
kerana kelak akan timbul banyak halangan yang perlu mereka atasi atau untuk
mendapat persetujuan semua parti komponen bagi membolehkan mereka menganggotai Barisan Nasional," katanya kepada pemberita di sini.

Baru-baru ini, sebuah akhbar tempatan melaporkan tentang spekulasi bahawa
sebuah parti baru dikenali sebagai Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) akan
ditubuhkan untuk memberi tempat kepada kelima-lima mereka, yang digelar media sebagai SPDP 5.

Wakil terbabit telah dipecat atau meninggalkan parti itu antara Disember tahun lalu dan Januari tahun ini.

Sumber yang dipetik akhbar berkenaan berkata, permohonan telah dikemukakan
kepada Pendaftar Pertubuhan untuk mendaftar parti itu dan apabila diluluskan, ia
akan diterima sebagai parti komponen BN.

Selain SPDP, BN Sarawak dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB),
yang diterajui Taib, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat
Sarawak (PRS).

Taib berkata, "bukanlah sesuatu yang mustahil sama sekali" bagi SPDP di bawah
pimpinan presidennya, Tan Sri William Mawan dan lima wakil rakyat berkenaan untuk menemui jalan perdamaian.

"Saya rasa tidak begitu elok bagi SPDP membiarkan kelima-lima YB berkenaan
berada di luar parti. Keadaan begini tidak baik bagi mana-mana parti," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment