My Add

Sunday 11 March 2012

Insentif kepada yang bayar sewa tepat masa

KUALA LUMPUR, SABTU, 10 Mac, 2012: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menwujudkan satu skim insentif khas bagi menggalakkan penyewa rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) membayar sewa rumah tepat pada masa.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, pada masa ini skim tersebut masih lagi dalam peringkat perancangan.

Antara insentif yang dipertimbangkan ialah pemberian rebat sewa sebanyak sebulan atau setengah bulan kepada penyewa yang membayar sewa penuh untuk setahun, katanya.

"Cara ini dapat menggalakkan orang ramai membayar sewa rumah mereka di samping dapat mengelakkan berlaku tunggakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi road show skim pembiayaan khas penjualan Program Perumahan Rakyat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (PPR MTEN) dan Perumahan Awam DBKL (PA DBKL) di Dewan Komuniti Lembah Pantai di sini baru-baru ini.

Turut hadir ialah Pengarah Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd. Idris Mohd. Isa; Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Adnan Md. Ikhsan dan Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sosio-Ekonomi DBKL, Datuk Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz.

Raja Nong Chik turut memberitahu bahawa penyewa yang berminat untuk membeli rumah PPR melalui skim pembiayaan tersebut tetapi mempunyai tunggakan agar menjelaskan tunggakan mereka.

Ini kerana, katanya, skim ini terbuka kepada mereka yang telah mendapat tawaran membeli rumah dari DBKL dan tidak mempunyai tunggakan dalam pembayaran sewa rumah.

Sementara itu, beliau turut mengulas mengenai kenyataan pihak pembangkang yang mempertikaikan perbezaan satu peratus dari Yayasan Wilayah Persekutuan berbanding kadar keuntungan 5.5 peratus yang dikenakan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui skim tersebut.

"Perbezaan satu peratus itu adalah bagi kos operasi serta pengurusan Syarikat Perumahan Wilayah Persekutuan dan sebahagiannya digunakan untuk menampung kos yang dikenakan oleh institusi kewangan sebagai caj kutipan bayaran balik pembiayaan.

"Ini merupakan syarat yang telah ditetapkan oleh KWSP sendiri supaya melantik satu institusi kewangan yang bertauliah untuk melaksanakan kutipan pembayaran itu. Jadi kita harus melantiknya," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment