My Add

Thursday 22 March 2012

Jimat RM2b beli gula mentah melalui Kontrak Jangka Panjang

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 22 Mac, 2012: Pembelian gula mentah pada harga tetap AS$0.175 sepaun melalui Kontrak Jangka Panjang (LTC) bagi tempoh tiga tahun berakhir 2011 telah menyumbang kepada penjimatan RM2 bilion, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata, keputusan kerajaan untuk menandatangani LTC 2012-2014 pada harga AS$0.26 sepaun adalah sesuai dan berpatutan memandangkan harganya sukar diramal dan dijangka meningkat pada masa hadapan.

"Kos pengeluaran gula mentah di negara-negara pengeluar meningkat kepada sekitar AS$0.22-0.23 setiap paun berbanding AS$0.17-0.18 sen setiap paun pada masa lalu dan kos ini dijangka meningkat pada masa hadapan.

"Penjimatan RM2 bilion itu pula diperoleh apabila harga semasa pasaran gula mentah dunia pada awal LTC 2009-2011 adalah lebih murah berbanding pada peringkat akhir kontrak itu,” katanya menjawab soalan Tony Pua (DAP-Batu).

Pua mahu tahu sebab kerajaan membeli gula mentah pada harga AS$0.26 sepaun walaupun harga pasaran dunia tidak melebihi AS$0.24.

Mukhriz berkata, harga purata bagi pasaran hadapan untuk bekalan 2012 hingga 2014 ketika kontrak itu dibuat adalah sebanyak AS$0.24 sepaun dan tidak termasuk kos pengangkutan yang dianggarkan sekitar AS$0.02-0.03.— BERNAMA

No comments:

Post a Comment