My Add

Thursday 22 March 2012

Kerajaan disaran hantar wanita ke angkasa

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN

KOTA BHARU, KHAMIS, 22 Mac, 2012: Program Angkasawan Negara (PAN) perlu diteruskan pada masa akan datang bagi mencetus minat generasi muda dalam bidang sains dan teknologi.

Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor turut berpendapat, adalah lebih baik sekiranya kerajaan memilih seorang wanita untuk misi seterusnya yang akan memberi inspirasi kepada kaum itu.

Beliau berkata, program itu perlu kerana pemergian beliau ke stesen angkasa antarabangsa (ISS) pada tahun 2007 telah membawa satu fenomena di mana semua pelajar bercita-cita menjadi angkasawan dan memberi fokus kepada mata pelajaran sains dan matematik di sekolah.

Bagaimanapun katanya, disebabkan ia memerlukan perbelanjaan yang besar program itu nanti perlu mempunyai objektif yang sangat jelas dan eksperimen yang dilakukan mestilah berbeza dengan apa yang dilaksanakannya sebelum ini.

"Memang tidak dinafikan kita harus meneruskan program angkasawan tetapi kalau mahu menghantar seorang lagi kita perlu jelas apa objektif yang hendak dicapai sebab ia memerlukan kos dan jumlah duit yang sangat banyak.

"Harapan saya adalah kerajaan menghantar seorang wanita Malaysia ke angkasa lepas sebagai angkasawati supaya dapat menyuntik inspirasi kepada seluruh pelajar dan kaum itu di negara ini," katanya kepada pemberita selepas Program Motivasi Angkasawan Bersama Pelajar di sini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment