My Add

Saturday 17 March 2012

KTM Intercity sektor selatan masih terganggu

KUALA LUMPUR, SABTU, 17 Mac, 2012: Perkhidmatan KTM Intercity di sektor selatan masih mengalami gangguan hari ini berikutan insiden kegelinciran tren barang di antara Layang-Layang ke Renggam semalam.

KTM Bhd (KTMB), dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan bahawa sebahagian gerabak tren kargo yang tergelincir itu sudah dialihkan.
Menurut kenyataan itu, kerja-kerja membaik pulih landasan masih dijalankan dan dijangka siap 3 petang esok.

Insiden kegelinciran tren barang di KM692.pada 12.28 tengah hari semalam membabitkan 14 daripada 35 gerabak simen kosong tren barang yang dalam perjalanan dari Kempas Baharu menuju ke Padang Rengas.

KTMB melaporkan perkhidmatan tren KTM Intercity yang masih mengalami gangguan berikutan insiden itu ialah Ekspres Rakyat (Sentral Kuala Lumpur-Woodlands); Ekspres Rakyat (Woodlands-Sentral Kuala Lumpur); Ekspres Sinaran Selatan (Woodlands-Sentral Kuala Lumpur); dan Ekspres Sinaran Selatan (Sentral Kuala Lumpur-Woodlands).

Turut mengalami gangguan ialah perkhidmatan Ekspres Sinaran Timur (Woodlands-Tumpat); Ekspres Sinaran Timur (Tumpat-Woodlands); Malayan Tiger Train (JB Sentral-Tumpat); Ekspres Senandung Sutera (Woodlands-Sentral Kuala Lumpur); Ekspres Senandung Sutera (Sentral Kuala Lumpur-Woodlands); Ekspres Senandung Timuran (Woodlands-Tumpat); dan Ekspres Senandung Timuran (Tumpat-Woodlands).

Perkhidmatan lain membabitkan shuttle (Gemas-Woodlands); shuttle (Woodlands-Gemas); (Kuala Lipis-Woodlands); dan shuttle (Woodlands-Kuala Lipis).

Menurut KTMB, penumpang boleh meminta pemulangan tambang penuh untuk perkhidmatan yang dibatalkan atau menukar tarikh perjalanan.

KTMB Careline boleh dihubungi di talian 1-300-88-5852 untuk maklumat lanjut. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment