My Add

Wednesday 21 March 2012

J/kuasa Khas Perlimen boleh berfungsi tanpa pembangkang

KUALA LUMPUR, RABU, 21 Mac, 2012: Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Projek Lynas Advanced Materials Plant boleh melaksanakan fungsinya dan bermesyuarat walaupun tanpa penyertaan wakil pembangkang, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Beliau berkata jawatankuasa itu bagaimanapun tidak boleh membincangkan perkara-perkara yang sedang dibicarakan di mahkamah bagi mengelak timbulnya isu subjudis kepada kes berkaitan.

Beliau berkata demikian semasa persidangan dewan hari ini sebagai menjelaskan persoalan yang dibangkitkan Datuk Kamaruddin Jaafar (PAS-Tumpat) bersabit penubuhan jawatankuasa itu yang didakwa bertentangan dengan Peraturan Mesyuarat 36(2).

Peraturan Mesyuarat itu menyebut majlis tidak boleh menyebut apa-apa perkara yang sedang dalam pertimbangan mahkamah sekiranya pada pertimbangan pengerusi harus merosakkan kepentingan pihak yang sedang dibicara.

Lynas Malaysia Sdn Bhd kini berdepan dengan kes mahkamah yang difailkan mana 10 penduduk tempatan yang memohon perintah certiorari untuk mengetepikan keputusan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom memberi lesen sementara kepada kilang nadir bumi itu untuk beroperasi.

Pandikar Amin berkata, pendirian sama telah diambil berhubung isu National Feedlot Corporation (NFCorp), di mana beliau juga telah memanggil Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Azmi Khalid dan menyatakan pendirian bahawa jawatankuasa tidak boleh berbincang perkara yang boleh menimbulkan subjudis.

Beliau turut menjelaskan bahawa usul untuk menubuhkan jawatankuasa itu dibenar untuk dikemuka dan dibahaskan di Dewan Rakyat semalam kerana ia untuk membincang pembentukan jawatankuasa dan bukannya mengenai Lynas.
Pandikar Amin menyifatkan keengganan pembangkang untuk menamakan wakil bagi menganggotai Jawatankuasa Khas Parlimen itu sebagai pendirian politik dan bukannya atas dasar subjudis.

Katanya mesyuarat Jawatankuasa Khas Parlimen yang dipengerusikannya pagi ini telah memperoleh nama lima wakil Barisan Nasional dan seorang wakil Parlimen Bebas bagi menganggotai jawatankuasa itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment