My Add

Wednesday 14 March 2012

Malaysia ulangi pendirian tentang Israel

KUALA LUMPUR, RABU, 14 Mac, 2012: Malaysia tidak pernah menjalin hubungan diplomatik dengan Israel dan dasar itu jelas serta tidak berubah sejak dulu, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, Malaysia juga secara konsisten menyatakan kebimbangan serta mengutuk serangan dan pencerobohan Israel di wilayah yang diduduki rakyat Palestin selain penempatan haram mereka di Tebing Barat.

"Sebagai negara yang prihatin dan bersimpati terhadap nasib malang Palestin, Malaysia telah dan akan terus memberi sokongan dari segi sosial, politik dan ekonomi kepada Palestin. Ini termasuk bantuan kewangan dan kemanusiaan menerusi bantuan pembangunan semula di Gaza dan Tebing Barat.

"Malaysia juga beri latihan kepada Palestin di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) serta bantuan yang dihulur oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO)," katanya ketika menjawab soalan Datuk Juslie Ajirol (BN-Libaran) yang mahu tahu sumbangan yang telah diusahakan kerajaan Malaysia terhadap Palestin selama ini, pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Anifah dalam jawapannya turut mengaitkan jawapannya dengan kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung sokongannya terhadap keselamatan Israel dalam Wall Street Journal (WSJ) yang disiarkan Januari lalu, menyebabkan Dewan bertukar kecoh apabila beberapa ahli Parlimen pembangkang bertindak bangun dan membantah kenyataan itu yang disifatkan sebagai tidak berasas.

Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) mendakwa Anifah cuba mengelirukan Dewan dan sengaja menggunakan ruang menjawab untuk menghina dan melemparkan tuduhan tidak berasas terhadap Anwar.

Beliau turut meminta agar Anifah dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen sekiranya beliau enggan menarik semula kenyataannya itu.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar bagaimanapun berkata: "Tak payah ajar saya tugas saya. Biar saya jalankan tugas saya, biar saya buat keputusan sendiri. Jangan desak saya."

Kekecohan yang berlangsung hampir setengah jam itu akhirnya reda apabila Wan Junaidi tidak membenarkan sebarang soalan tambahan dibangkitkan dan menyambung kepada soalan berikutnya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment