My Add

Wednesday 14 March 2012

MCA bertindak gantung anggota cuba sabotaj parti

KUALA LUMPUR, RABU, 14 Mac, 2012: MCA akan mengenakan tindakan menggantung mana-mana anggota yang didapati mensabotaj parti ketika parti itu meningkatkan persediaannya untuk menghadapi pilihan raya umum yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja sebelum Mac tahun depan.

Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, ini disebabkan MCA masih berdepan ancaman ekoran pertelingkahan dalaman dan sabotaj.

"Dalam usaha menghentikan politik dalaman, lebih-lebih lagi memandangkan pilihan raya umum semakin hampir, mana-mana anggota parti yang didapati mensabotaj parti akan dirujuk kepada Lembaga Disiplin dan mereka boleh digantung selama enam bulan," katanya di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, sehingga kini, parti itu belum menerima sebarang aduan rasmi berhubung perkara itu namun mereka akan memantau rapi perkara itu yang lazimnya berlaku setelah senarai calon diumumkan.

"Setakat ini kami belum menerima apa-apa aduan. Memanglah, pilihan raya belum diadakan lagi. Bagaimanapun, kami akan memantau keadaan untuk memastikan mereka memberi kerjasama terutamanya di peringkat bahagian dan cawangan. Langkah ini untuk memastikan jentera pilihan raya kami lancar dan berjalan dengan betul," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment