My Add

Monday 12 March 2012

Parti baru bukan idea baik

KUCHING, AHAD, 11 Mac, 2012:Penubuhan parti baru dilihat bukan idea atau penyelesaian terbaik untuk kumpulan wakil rakyat bekas ahli Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) yang digelar sebagai 'SPDP 5'.

Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, mereka sudah pasti berdepan dengan pelbagai halangan untuk menubuhkan parti baru termasuk mendapatkan persetujuan daripada kesemua parti komponen Barisan Nasional (BN).

"Saya tidak fikir ia idea baik kerana mereka akan menghadapi pelbagai halangan kerana untuk menubuhkan parti baru, mereka perlu mendapat persetujuan daripada semua parti komponen BN.

"Jika boleh jangan lakukan perkara ini sekiranya mahu bersama BN," katanya selepas majlis penyerahan trofi Kejohanan Tenis Junior (Gred 1) Piala Ketua Menteri (1) Ke-19 ITF, di sini semalam.

Rabu lalu, sebuah akhbar tempatan melaporkan mengenai ura-ura penubuhan sebuah parti baru iaitu Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) yang didakwa dianggotai lima bekas ahli SPDP terbabit.

Difahamkan, permohonan telah dihantar kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) baru-baru ini dan kemungkinan akan didaftarkan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Lima anggota SPDP 5 yang terlibat ialah Ahli Parlimen Mas Gading, Datuk Dr Tiki Lafe; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Peter Nansian; ADUN Marudi, Datuk Sylvester Entri Muran; ADUN Bekenu, Rosey Yunus dan ADUN Batu Danau, Paulus Palu Gumbang. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment