My Add

Wednesday 14 March 2012

Peraturan baru pindaan Akta Hakcipta akan diserah April

KUALA LUMPUR, RABU, 14 Mac, 2012: Peraturan baru berikutan pindaan Akta Hakcipta 1987 pada tahun lepas, termasuk bidang kuasa lebih luas untuk Tribunal Hakcipta, dijangka dapat diserahkan kepada Peguam Negara bulan depan untuk dikuatkuasakan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya serta penggiat Industri Kreatif Negara akan bermesyuarat buat kali terakhir bagi memuktamadkan peraturan itu pada hujung bulan ini sebelum diserah kepada Peguam Negara.

"Peraturan baru Tribunal Hakcipta yang diperluaskan turut menyentuh mengenai perluasan bidang kuasa bagi membuat keputusan dalam perkara berkaitan pembayaran royalti kepada artis.

"Tribunal itu juga diperluaskan bagi memastikan individu yang bertanggungjawab mengutip royalti sentiasa bersikap telus dari segi jumlah kutipan royalti, selain memaklumkan kepada artis terlibat mengenai sebarang maklumat mengenai karya mereka yang digunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan kedua dengan wakil penggiat Industri Kreatif Negara mengenai isu peraturan baru itu di pejabat Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) hari ini.

Ismail Sabri juga berkata kementerian itu, melalui MyIPO, akan memperkenalkan Sistem Pendaftaran Secara Sukarela bagi sesebuah karya hak cipta bagi membantu pemilik membuktikan milikan mereka. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment